suria

Polis Yakin Selesai Kes Tembak Berdasarkan Rakaman CCTV

GEORGE TOWN: Polis yakin dapat menyelesaikan kes ahli perniagaan yang maut ditembak di Jalan Datuk Keramat di sini pada Khamis lepas, dalam tempoh terdekat selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata, menerusi rakaman itu pihaknya mendapati dua lelaki terbabit dalam kejadian berkenaan dan disahkan enam tembakan dilepaskan terhadap mangsa dari jarak dekat.

"Dua lelaki menunggang motosikal dilihat berhenti berhampiran kereta mangsa sebelum pemboncengnya turun dan melepaskan tembakan terhadap mangsa.

"(Berdasarkan rakaman) Penembak itu dalam lingkungan lewat 20-an dan berkulit putih, manakala penunggang motosikal berkulit gelap. Daripada rakaman CCTV ini polis percaya dan yakin dapat selesaikan kes ini dalam tempoh terdekat," katanya dalam sidang media di sini, Jumaat.

Dalam kejadian pukul 3.30 pagi Khamis lalu, Syed Amen Jainul Abidin, 46, maut selepas ditembak di hadapan sebuah kedai motosikal berkuasa tinggi. 

Dalam pada itu, Mior Faridalathrash meminta orang ramai tidak membuat pelbagai spekulasi terutama di media sosial mengenai kes berkenaan sehingga mengaitkan pembunuhan Syed Amen dengan politik dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Biar polis siasat apa motif sebenar kejadian. Ada kata ia mempunyai kaitan dengan tindakan pegawai JPJ sebab si mati pernah maki hamun pegawai jabatan itu. Mangsa sudah dituduh di mahkamah, kes itu masih dalam perbicaraan.

"Jangan bagi komen negatif yang mana kita (polis) percaya tidak tepat dan tidak benar kerana tindakan itu boleh menggusarkan masyarakat," katanya.

Sementara itu beliau turut menafikan mangsa adalah pemilik restoran nasi kandar terkenal yang terletak di Jalan Penang di sini.

"Mangsa hanya mempunyai perhubungan keluarga dengan pengusaha restoran itu," katanya. - Bernama

Artikel Sebelum

Papar Harga Terangkum - KPDNKK

Artikel Berikut

Artikel Lain