suria

20,000 Pelatih Sertai PLKN Mulai 26 Mac

Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (tengah) beramah mesra bersama wira Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada program menembak melibatkan 363 pelatih Kem Warisan Masjid Tanah kumpulan 1 siri 12/2015 di Kem Terendak di sini, baru-baru ini.

SIBU: Seramai 20,000 pelatih akan menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mengikut Program Transformasi PLKN 2.0 bermula 26 Mac ini.

Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun berkata pelatih itu akan ditempatkan di 81 kem di seluruh negara bagi mengikuti latihan selama lapan minggu.

"Inilah tahun pertama kita buat pengambilan di bawah Program Transformasi PLKN 2.0 dan ia hanya melibatkan satu pengambilan sahaja," katanya kepada  pemberita selepas menghadiri Mesyuarat MLKN Bilangan 1 Tahun 2016 di Kem PLKN Junaco Park, kira-kira 30 kilometer dari sini, Jumaat.

Beliau berkata dengan satu pengambilan itu, tumpuan dapat diberikan bagi menyediakan pelatih berkemahiran untuk memasuki fasa kedua latihan.

Fasa itu akan memberi pendedahan kerjaya kepada pelatih di agensi yang menawarkan latihan kemahiran termasuk Institut Latihan Perindustrian, Institusi Kemahiran Belia Negara dan Institut Automotif Malaysia.

"Jangka masa latihan fasa kedua bergantung kepada jurusan yang diambil pelatih iaitu antara tiga sehingga 24 bulan. Ini akan membentuk generasi yang lebih holisitik, berjati diri, boleh bersaing dan mempunyai kebolehpasaran yang lebih baik bila meninggalkan program ini nanti," katanya.

Ketua Pengarah PLKN Datuk Mohmed Asri Yusuf pula berkata para pelatih  dipilih pihak sekolah berdasarkan prestasi mereka.

"Pelajar yang tidak cemerlang dalam akademik tetapi berpotensi dalam bidang kemahiran akan dipilih oleh pihak sekolah masing-masing untuk mengikuti latihan ini," katanya.

Selain itu, ibu bapa juga tidak perlu bimbang mengenai tahap keselamatan dan kesihatan anak mereka kerana prasarana kem-kem PLKN sudah ditambah baik.
-- Bernama


Artikel Berikut

Artikel Lain