suria

Mahkamah Khas Bicara Kes Dadah Akan Diwujudkan - TPM

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tiga, kanan) mengikuti pembentangan hasil perbincangan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Suhaimi Abdullah pada program 'Brainstorming' mengenai permasalahan dadah anjuran AADK, Jumaat. Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Ir Idris Haron (empat, kana) dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (kanan).

MELAKA: Sebuah mahkamah khas bagi membicarakan kes berkaitan dadah akan diwujudkan secara berperingkat di seluruh negara, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri berkata ia berikutan permintaan daripada badan bukan kerajaan (NGO), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkilan ekoran terdapat kes reman yang tidak dapat diselesaikan perbicaraannya di mahkamah. 

Ini sekaligus menjadikan kes tertunggak yang cukup banyak, katanya.

"Oleh sebab itu pencambahan pemikiran yang dilakukan oleh AADK telah mendapat desakan-desakan supaya mahkamah khas untuk tangani kes-kes dadah ini diwujudkan," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Terdahulu beliau menghadiri sesi Percambahan Pemikiran Mengenai Permasalahan Dadah selama kira-kira satu jam yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri dan wakil NGO.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata hasil sesi pencambahan pemikiran yang diadakan itu akan dibentangkan kepada jemaah menteri sebagai kertas memorandum yang antara lain berkaitan penguatkuasaan, pemulihan dan pembanterasan dadah dalam jangka panjang.

"Yang penting komitmen semua pihak sebagaimana yang telah berlaku selama ini terutama daripada badan NGO. Malah pendekatan pemulihan yang baharu termasuklah dengan menekankan soal keagamaan dan kerohanian dan diharap 'will power' yang kuat untuk penagih berkenaan," katanya.

Beliau berkata pada masa sama, semua agensi penguatkuasaan terutamanya PDRM, Kastam dan agensi lain akan terus mempergiatkan penguatkuasaan mereka.

Ahmad Zahid turut memuji kejayaan unit khas STING (Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik) dari Bukit Aman yang melakukan tidak kurang 26,000 tangkapan dengan jumlah rampasan melebihi RM500 juta tahun lepas.

Berita selanjutnya menyusul.


AADK, Ahmad Zahid Hamidi, dadah

Artikel Sebelum

Artikel Lain