suria

Penyelia Didenda RM2,000 Curi Telefon Di Masjid

KUALA LUMPUR: Seorang penyelia tapak pembinaan dijatuhi hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku bersalah mencuri telefon bimbit dari poket belakang seluar rakannya, yang hendak memulakan solat subuh di masjid.

Majistret Husna Dzulkifly menjatuhkan hukuman itu terhadap Syaifol Nizam Zainol Abidin, 39, selepas dia mengaku bersalah mencuri telefon bimbit jenama Samsung milik Mohd Sharin Bakar, 35, seorang pengawal keselamatan, daripada poket seluar yang dipakai mangsa.

Bagaimanapun kejadian itu tidak disedari mangsa.

Syaifol Nizam didakwa melakukan kesalahan itu di Masjid Negara di sini pada 5.30 pagi, 1 Februari lepas dan didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut fakta kes, selepas beberapa hari mangsa yang mengesyaki tertuduh mencuri telefon bimbitnya meminta tertuduh mengembalikan semula telefonnya, tetapi rakannya itu mendakwa telefon itu telah dijual dengan harga RM430.

Mohd Sharin kemudiannya membawa tertuduh ke balai polis untuk tindakan lanjut.

Ketika rayuan, Syaifol Nizam yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan dia perlu menjaga ibunya yang sudah tua.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal, supaya tertuduh tidak mengulangi perbuatan itu.

Artikel Lain