suria

Najib Umum Pengubahsuaian Bajet 2016 Esok

Timbalan Setiausaha Bahagian Dasar Saraan dan Pengurusan Kementerian Kewangan, Datuk Shamsul Azri (tiga, kanan) bersama para petugas Kementerian Kewangan melakukan persiapan akhir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bagi pembentangan pengubahsuaian Bajet 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak esok.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan pengubahsuaian Bajet 2016 tengah hari, Khamis yang berasaskan situasi sebenar ekonomi semasa.

Bajet 2016 yang telah diubah suai, walaupun perlu, tidak langsung akan menjejaskan rakyat.

Malah kerajaan dalam memutuskan langkah-langkah pengubahsuaian, melihat kepada mengoptimumkan perbelanjaan, mengutamakan semula projek dan menangguhkan sebahagian perbelanjaan pembangunan.

Ia akan mengelak melaksanakan langkah penjimatan serta mengekalkan skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kerana ia adalah bantuan langsung kepada rakyat dan mempunyai kesan pengganda di kawasan bandar dan luar bandar.

Ketika Bajet 2016 diumumkan pada 23 Oktober 2015 oleh Najib yang juga Menteri Kewangan, ia berdasarkan andaian harga minyak mentah AS$48 setong.

Sejak itu, senario itu telah berubah dengan kejadian seperti harga minyak yang terus merosot yang bermakna pendapatan yang lebih rendah kepada kerajaan.

Pada Rabu, harga minyak mentah mencecah kira-kira US$30 setong, kejatuhan mendadak sejak bajet itu dibentangkan.

Bagaimanapun, bajet itu perlu diselaraskan sewajarnya bagi menangani peningkatan kos sara hidup, merangsang kegiatan pelaburan serta mengukuhkan imbangan pembayaran negara. 

Ketika berucap di perhimpunan khas Kementerian Kewangan awal bulan ini, Najib berkata, adalah lebih baik untuk berterus terang dan menyatakan 2016 akan menjadi tahun yang mencabar.

"Saya tidak mahu berkata sesuatu yang baik kepada rakyat dengan tidak menyatakan keadaan sebenar. Biar kita berterus terang dan jujur dan menyatakan tahun ini akan menjadi tahun yang mencabar," katanya.

Najib juga menegaskan yang cabaran pada 2016 berkait dengan keadaan pasaran kewangan berikutan keputusan Rizab Persekutuan AS untuk menormalkan kadar faedah yang akan menjejaskan aliran modal di rantau ini, termasuk Malaysia, di samping mengukuhkan dolar AS.

Cabaran 2016 memerlukan tindakan yang lebih responsif dan tegas, bukan sahaja oleh Kementerian Kewangan, tetapi juga kerajaan secara keseluruhannya, syarikat berkaitan kerajaan serta orang ramai.

Kerajaan telah mengurangkan kebergantungan ke atas hasil minyak dan telah memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan bagi meningkatkan tabungan kerajaan.

Ekonominya yang pelbagai, di samping rasionalisasi subsidi telah memberikan sejumlah sumbangan kepada pendapatan.

Permintaan domestik yang kukuh serta pelaburan swasta tempatan yang lebih tinggi dan sumbangan daripada pembuatan, pembinaan dan pertanian di samping sektor perkhidmatan, termasuk pelancongan turut membantu tabungan negara.

"Ia kelihatan seperti 2016 akan mejadi tahun yang mencabar dan kita perlu menguruskan sumber kita dengan cekap dan pada tahap optimum.

"Kita perlu bersedia dan menghasilkan cara terbaik bagi memastikan ekonomi kita kekal mampan," kata perdana menteri.-- Bernama

Perdana Menteri, Bajet 2016, BR1M

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain