suria

Jenazah Tiga Pelajar Malaysia Maut Di Jordan Tiba Di KLIA

Rapidah Mat Rani (kanan) mengiringi jenazah anaknya Allahyarhamah Fatin Iqmal Idziyani Che Aziz yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Jordan Sabtu lepas sejurus tiba di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Rabu. Jenazah kemudian dibawa untuk dikebumikan di Lenggong, Perak.

SEPANG: Jenazah tiga pelajar Malaysia yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Jordan, Sabtu lepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Rabu.

Penerbangan Royal Jordanian RJ185 yang membawa jenazah Fatin Iqmal Idziyani Che Aziz, Hana' Azhar dan Al Najiatun Nailah Mohd Safie mendarat di KLIA pada kira-kira 4.25 petang.

Ketibaan jenazah disambut beberapa pegawai dari Wisma Putra dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Jenazah Hana' dan Al Najiatun Nailah kemudiannya diterbangkan ke Kota Baharu, Kelantan dengan pesawat MH1402 pada pukul 6.25 petang. 

Dalam pada itu, van yang membawa jenazah Fatin Iqmal Idziyani dilihat keluar dari kompleks kargo KLIA pada pukul 6.15 petang dengan diiringi ibunya Rapidah Mat Rani dan suami Ahmad Sabri Mat Baharin.

Bercakap kepada pemberita yang menunggu di pintu masuk ke kompleks kargo itu, Rapidah, 47, berkata beliau bersyukur jenazah anaknya selamat tiba di tanah air walaupun prosesnya memakan sedikit masa. 

Beliau yang masih sebak dengan insiden itu turut merakamkan penghargaan kepada MAWIP, Wisma Putra dan rakan-rakan anaknya kerana banyak membantu ketika mereka buntu memikirkan bagaimana untuk membawa jenazah pulang.

"Sebagai golongan kurang berkemampuan kami buntu dan risau memikirkan soal itu, namun bersyukur kerana MAWIP tampil menghulurkan bantuan dalam urusan membawa pulang arwah," katanya. 

Rapidah berkata jenazah akan dibawa ke Masjid Al-Bukhary, Jalan Hang Tuah dekat sini untuk disembahyangkan sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Lenggong, Perak untuk dikebumikan. 

Ketiga-tiga pelajar tahun tiga Universiti Mu'tah, Jordan itu maut dalam kemalangan jalan raya di Ashrafiyeh, wilayah Mafraq ketika dalam perjalanan untuk menghadiri satu program keagamaan. 

Kerajaan Kelantan dan MAIWP dilaporkan membiayai kos penghantaran pulang kesemua jenazah pelajar itu ke Malaysia. -- Bernama 


Artikel Lain