suria

Prestasi Kewangan TH Kukuh, Mampu Bayar Dividen Memberangsangkan - Abdul Azeez

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menegaskan ia tidak mengalami sebarang masalah kewangan atau kerugian seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Malah, jelas Pengerusinya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, prestasi kewangan lembaga itu cukup kukuh sehingga membolehkan Tabung Haji membayar dividen yang 'memberangsangkan' kepada pendeposit yang bakal diumumkan pada minggu pertama bulan depan.

"Tabung Haji tak ada sebarang masalah kewangan sama sekali. Saya ingin menzahirkan kepada semua pendeposit, pencarum (bahawa) TH tidak ada sebarang masalah kewangan...kita tak rugi dan kita tak perlu kerajaan datang bantu kita dari sudut kewangan. 

"Saya ingin maklumkan memang seperti lazimnya pada suku tahun pertama, TH akan mengumumkan dividen dalam masa terdekat sebelum Tahun Baru Cina, sebelum minggu pertama bulan kedua...ini memang dalam takwim kita," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Rabu. 

Mengulas lanjut, Abdul Azeez berkata prestasi kukuh TH itu turut membolehkannya membiayai subsidi jemaah haji tahun ini sebanyak RM160 juta, berbanding RM150 juta pada tahun lepas.

Sekiranya TH benar-benar mengalami kerugian seperti didakwa sesetengah pihak, tidak mungkin ia mampu membiayai jumlah subsidi berkenaan, katanya.

"Tahun ini kos (menunaikan haji) sebanyak RM18,980 dan TH hanya mengambil caj kos sebanyak RM9,980. 

"Setiap jemaah kali pertama akan mendapat subsidi sebanyak RM8,910. (Jadi) mana mungkin kita boleh tanggung kalau rugi," katanya.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan mengenai surat Bank Negara Malaysia (BNM) bertarikh 23 Disember 2015 bahawa tahap rizab TH mencecah paras negatif yang turut menggugat kemampuannya membayar dividen seperti lazimnya.

Namun Pengarah Urusan Kumpulan TH, Tan Sri Ismee Ismail dalam satu kenyataan semalam berkata prestasi kewangan TH adalah baik disokong oleh aset-asetnya yang kukuh, termasuk aset tunai TH sebanyak RM10.7 bilion setakat 31 Disember 2015.

Mengulas surat BNM, Abdul Azeez berkata, bank pusat itu tidak mengambil kira nilai keseluruhan pelaburan TH dalam sektor-sektor lain.

"Saya ingin memaklumkan (bagi) kiraan nilai aset TH, kita dah ambil kira secara saksama portfolio pelaburan TH. Ini kerana nilai aset yang diberitahu BNM tidak mengambil kira pelaburan saham anak syarikat TH atau syarikat bersekutu serta aset hartanah dan perladangan," katanya.

Menurutnya, BNM juga telah mengeluarkan satu kenyataan semalam bahawa TH telah mengambil tindakan sewajarnya bagi meningkatkan prestasi kewangannya.

Sehubungan itu, Abdul Azeez berkata, beliau telah berbincang dengan pihak peguam bagi meneliti kebocoran surat BNM kepadanya serta tindakan susulan yang perlu diambil.-- Bernama

Artikel Lain