suria

Anak Perempuan Tun Tan Siew Sin Terima Anugerah Daripada Sultan Selangor Dengan Rasa Rendah Diri

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyampaikan anugerah kepada Tan Siok Choo di Istana Alam Shah, Klang.

KLANG: Bagi kebanyakan mereka yang menerima anugerah sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah ke-70 mungkin ia adalah satu penghormatan, tetapi untuk seorang penerima ini, anugerah itu diterima dengan rasa rendah diri.

Tan Siok Choo, 63, yang merupakan salah seorang daripada 10 orang yang diberi anugerah Dato Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) yang membawa gelaran Datuk bagi lelaki dan Datin Paduka bagi wanita berkata beliau tidak tahu apa yang telah dilakukannya yang menyebabkan beliau layak diberikan penghormatan seperti ini .

"Saya benar-benar patuh dan berasa rendah diri.

"Semua orang tahu bahawa anugerah pengiktirafan yang diberikan oleh Sultan Selangor sangat terhad selama ini. Jadi saya berbesar hati menerima anugerah tersebut," katanya.

Anak perempuan kepada bekas Presiden MCA dan Menteri Kewangan Tun Tan Siew Sin berusia 63 tahun ini berkata Sultan telah memberitahunya kenangan manis baginda bersama mendiang bapanya.

Beliau berkata, Sultan Selangor dan Tun Tan kenal antara satu sama lain ketika mereka sama-sama di Bangunan Sultan Abdul Samad dan Sultan pada ketika itu adalah Raja Muda.

"Baginda memberitahu saya bahawa baginda pernah bertemu mendiang bapa saya agak kerap dan mereka sering berbual-bual dan bertukar-tukar pandangan," kata Tan, yang kini menjadi pengerusi syarikat kumpulan perladangan United Malacca Bhd.

Bagi Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, beliau berasa bangga menerima anugerah Kelas Pertama Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Bapa kepada enam anak berusia 51 tahun itu berkata, beliau berterima kasih dan berbesar hati menerima anugerah itu daripada Sultan.

"Ini adalah satu penghormatan yang besar bukan sahaja kepada saya tetapi juga pentadbiran negeri dan pegawai-pegawai yang telah bekerja keras untuk pembangunan di negeri ini," katanya.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, yang menerima anugerah Dato Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) yang membawa gelaran Datuk Setia berkata, anugerah itu amat bermakna kerana beliau akan bersara tidak lama lagi.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Sultan untuk pengiktirafan ini dan juga MB dan pentadbirannya," kata Khusrin, yang akan mengucapkan selamat tinggal selepas berkhidmat di Selangor selama 30 tahun.

Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Tun Razak yang menerima anugerah Dato Paduka Mahkota Selangor (DPMS) yang membawa gelaran Datuk, berkata ia adalah satu penghormatan.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Balachandran Satiamurti, yang menerima anugerah DPMS, berkata beliau amat gembira kerana diberi pengiktirafan ini.

Seramai 75 penerima menerima pelbagai anugerah negeri semalam.

Mendahului senarai itu Tengku Syarif Panglima Perlis Tan Sri Syed Anwar Jamalullail, yang menerima anugerah Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (DK II).

Syed Anwar, adinda Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, adalah pengerusi Lembaga Zakat Selangor.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain