suria

PM Singapura, Isteri Ucap Takziah Kepada Keluarga Diraja, Rakyat Johor

JOHOR BAHARU: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan isteri, Ho Ching, mengutuskan ucapan takziah kepada keluarga diraja Johor atas kemangkatan Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim malam Sabtu.

Melalui laman Facebook rasminya, Lee juga menyampaikan kekesalan beliau kerana tidak dapat menghadiri istiadat pemakaman Tunku Abdul Jalil kerana perlu menghadiri konvensyen Parti Tindakan Rakyat (PAP), Ahad.

"Ho Ching dan saya sedih atas kemangkatan Yang Mulia Tunku Abdul Jalil, putera Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan permaisuri baginda, Raja Zarith.

"Tunku Jalil dikenang kerana sikap belas ihsan, kerja amal dan kecintaan beliau terhadap alam sekitar serta haiwan.

"Saya masih ingat Tunku Jalil memberitahu kami tentang kerja sukarela beliau di Zoo Singapura dan betapa beliau begitu gembira ketika bersiar-siar di Singapore Botanic Gardens," katanya.

Lee berkata doa dan harapan beliau mengiringi mereka (keluarga diraja Johor) dan rakyat Johor dalam menghadapi detik-detik yang memilukan ini.

Lee akan diwakili Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Penyelaras Keselamatan Negara Singapura Teo Chee Hean dan Menteri Dalam Negeri dan Undang-undang K. Shanmugam ke istiadat pemakaman Tunku Abdul Jalil.

Tunku Abdul Jalil, 25, mangkat pada 7.11 malam tadi di Hospital Sultanah Aminah di sini kerana kanser.

Artikel Lain