suria

RUU MKN Tidak Rampas Kuasa Agong - Shahidan

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Khamis malam meluluskan Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 di peringkat jawatankuasa.

Rang undang-undang (RUU) berkenaan diluluskan tanpa pindaan dan tanpa undi belah bahagian.

Terdahulu ketika membahaskannya di peringkat dasar, undi belah bahagian yang dilakukan menyaksikan 107 wakil rakyat bersetuju, manakala 77 lagi Ahli Parlimen menolak.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim ketika menggulung perbahasannya menolak dakwaan pembangkang bahawa RUU tersebut akan memberi kuasa mutlak kepada Perdana Menteri mengisytiharkan darurat di sesuatu kawasan.

Tegasnya tafsiran pembangkang terhadap RUU itu adalah salah kerana kuasa mengisytiharkan darurat adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.

“Yang berhormat tak faham dan sengaja buat tak faham. Kuasa yang ada kepada Perdana Menteri selaku Pengerusi MKN hanya untuk mengisytiharkan kawasan tertentu di negara ini sebagai kawasan keselamatan, bukan kawasan darurat.

“Ingin dijelaskan bahawa rang undang-undang ini tidak memberi kuasa yang terlalu luas kepada perdana menteri adalah tidak benar kerana kuasa itu berada pada majlis (MKN) yang mempunyai pengetahuan dalam hal ehwal keselamatan negara.

“Jadi untuk mengatakan bahawa rang undang-undang ini merampas kuasa Yang di-Pertuan Agong adalah salah dan tidak benar. Ingin saya tegaskan bahawa rang undang-undang ini tidak bercanggah dengan Perlembagaan,” katanya.

RUU itu antara lain memberi Perdana Menteri kuasa untuk mengisytiharkan kawasan tertentu di negara ini sebagai kawasan keselamatan.

Ia turut memperuntukkan keanggotaan MKN terdiri daripada Perdana Menteri sebagai Pengerusi, Timbalan Perdana Menteri sebagai Timbalan Pengerusi diikuti tiga menteri yang dipertanggungjawab bagi pertahanan, hal ehwal dalam negeri serta komunikasi dan multimedia selain dianggotai Ketua Setiausaha Negara, Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara.

Perdana Menteri atas syor Ketua Setiausaha Negara akan melantik seorang dalam kalangan pegawai awam untuk menjadi Ketua Pengarah Keselamatan Negara serta Timbalan-timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara dan apa-apa bilangan pegawai dan perkhidmat lain dalam kalangan pegawai awam.




Dewan Rakyat, MKN, RUU, Ahli Parlimen

Artikel Lain