suria

Gurauan 'Cari Makan' Pengerusi PAC Makan Diri

KUALA LUMPUR: Gurauan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Arifin akhirnya ‘makan diri’ apabila ia menjadi kontroversi di persidangan Dewan Rakyat.

Hasan yang membuat gurauan ‘cari makan’ ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PAC pada Rabu telah dijadikan modal kritikan oleh pembangkang  yang menyifatkan gurauannya itu sebagai memalukan.

Kontroversi timbul apabila Hasan, pada sidang medianya berkata “Saya pun nak cari makan juga” apabila diminta mengulas dengan lebih lanjut tentang kenyataannya sebelum itu bahawa 'tidak ada keperluan untuk memanggil Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi keterangan dalam prosiding PAC’.

Selepas itu, Hasan bagaimanapun memberitahu sidang media bahawa apa yang dikatakan itu hanyalah satu gurauan.

Gurauan ‘cari makan’ itu bagaimanapun menjadi isu apabila beberapa portal melaporkannya dan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo telah membangkitkan perkara itu ketika persidangan.

"Inikah taraf seorang ahli Parlimen yang dilantik menjadi pengerusi PAC. Ini sangat memalukan.

"Kita tidak boleh membenarkannya…beliau perlu letak jawatan," katanya.

Tidak cukup dengan itu, Gobind bersama Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul (PKR) dan Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin membuat sidang media di lobi Parlimen sekali lagi menggesa Hasan meletak jawatan kerana mendakwa gurauannya menunjukkan beliau ‘tidak bebas’.

Sementara itu Hasan dalam kenyataan medianya sejurus selepas itu berkata ayat ‘cari makan’ itu telah disalah tafsirkan.

"Saya memaklumkan kepada media bahawa percakapan saya itu mengenai 'saya pun nak cari makan’ tidak harus dilaporkan disebabkan ia sekadar gurauan kerana sebelum ini, saya menyatakan buat masa ini tidak perlu untuk memanggil perdana menteri.

"Walau bagaimanapun saya dapati portal berita The Malaysian Insider dan MalaysiaKini mengeluarkan berita mengenai percakapan saya saya itu," menurut kenyataan itu.

Beliau berpandangan, mana-mana portal atau akhbar yang melaporkan percakapannya itu sebagai ‘tidak beretika, menjejaskan hubungannya dengan petugas media, dan menjejaskan reputasinya sebagai pengerusi PAC dan ahli politik’.

PAC, Dewan Rakyat

Artikel Lain