suria

JKKK PAS Kepala Batas Dipecat, Bukan Tarik Diri - Mohd Rashid

Mohd Rashid Hasnon

GEORGE TOWN: Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari kalangan anggota PAS di kawasan Parlimen Kepala Batas telah dipecat dan bukannya meletak jawatan seperti yang diumum pada Selasa.

Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Mohd Rashid Hasnon ketika menjelaskan perkara itu, berkata pihaknya telah memecat ahli JKKK yang tidak menyokong kerajaan pakatan harapan negeri dan kekosongan kerusi itu telah digantikan.

"Kami telah membuat proses untuk memastikan JKKK bersama dengan kerajaan negeri...kami perlu memastikan kerusi ahli JKKK haruslah yang menyokong kerajaan pakatan harapan yang dapat membantu terus kerja kerajaan negeri," katanya pada sidang akhbar di sini, Rabu.

Pada Selasa, PAS Kepala Batas mengadakan sidang akhbar mengumumkan menarik diri daripada memegang jawatan dalam JKKK bagi kawasan Parlimen itu berkuat kuasa serta-merta.

Sementara itu, Mohd Rashid berkata surat pemberhentian itu diserah kepada mereka sebulan lalu. 

"Mereka dipecat dan bukannya menarik diri dan kawasan Kepala Batas merupakan kawasan yang awal kami kenal pasti dan kami hantar dulu surat pemberhentian,"katanya.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kepala Batas Bukhori Ghazali berkata pada Selasa, keputusan itu dibuat setelah meneliti beberapa sebab, antaranya PAS bukan lagi dalam kepimpinan kerajaan Pulau Pinang selepas Ketua Menteri Lim Guan Eng mengumumkan Pulau Pinang sebagai kerajaan pakatan harapan.

Bukhori dilapor berkata penarikan diri itu juga dilakukan demi menjaga maruah ahli daripada terus dituduh dengan pelbagai tohmahan kerana bekerja dengan pimpinan negeri yang berterusan menunjukkan sikap negatif terhadap kepimpinan tertinggi PAS. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain