suria

Salah Kait Individu Dengan 1MDB, MP Kelana Jaya Boleh Disaman - Nur Jazlan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen boleh diheret ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, malah boleh juga disaman kerana mengaitkan individu yang salah dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, ahli Parlimen pembangkang itu tidak boleh membuat tuduhan liar terhadap seseorang tanpa pengesahan, apatah lagi ia dilakukan di Dewan Rakyat.

“Saya ingin mengingatkan Wong Chen bahawa beliau boleh dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana membuat tuduhan salah.

"Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat tuduhan palsu atau tidak boleh dibuktikan kerana anda akan merosakkan reputasi seseorang…jangan salah gunakan Dewan Rakyat," kata Nur Jazlan kepada pemberita di lobi Parlimen, Rabu.

Nur Jazlan mengulas mengenai tindakan Wong Chen yang mengaitkan Yusof Annuar Yaacob dengan kontroversi 1MDB dalam pertanyaannya kepada Kementerian Dalam Negeri berkaitan isu yang dihadapi syarikat itu di Dewan Rakyat.

Dalam jawapan bertulis kepada Wong Chen, KDN berkata polis tidak dapat mengesan individu-individu yang dinamakan Wong Chen dalam pertanyaannya iaitu ahli perniagaan Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low, Casey Tang, Jasmine Loo, Nik Faisal Ariff Kamil, termasuklah Yusof Annuar.

Nur Jazlan berkata Yusof sebelum ini adalah Pengerusi dan Pengarah Urusan Goldman Sachs Malaysia dan beliau tidak ada kena mengena dengan 1MDB.

Goldman Sachs adalah syarikat yang pernah menjadi penasihat kewangan 1MDB.

“Wong Chen perlu memohon maaf secara terbuka kepada Yusof kerana salah menuduh beliau.

"Malah, Yusof harus mempertimbangkan menyaman Wong Chen," kata Nur Jazlan.

Dalam perkembangan sama, Wong Chen dilaporkan mengaku telah membuat kesilapan menamakan Yusof Annuar sebagai salah seorang daripada lima orang semasa mengemukakan soalan di Parlimen.

Katanya, beliau sebenarnya mahu menamakan pengarah SRC Datuk Suboh Md Yassin, bukannya Yusof Annuar.

Datuk Nur Jazlan Mohamed, 1MDB

Artikel Lain