suria

Guru Didenda Menghasut Di Facebook

KUALA LUMPUR: Seorang guru didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen Selayang di sini Pada Rabu selepas didapati bersalah menerbitkan penerbitan menghasut di laman facebooknya mengenai penganut agama Hindu semasa perayaan Thaipusam, tahun lepas.

Hakim Tasnim Abu Bakar membuat keputusan itu terhadap Hidayat Mohamed, 36,  selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan pada akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan Hidayat menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu. Tertuduh yang kelihatan tenang sejurus mahkamah menjatuhkan hukuman itu, membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Hidayat didakwa menerbitkan penerbitan menghasut melalui satu kenyataan di laman facebook di TH 45A, Ariza Garden Villa, Taman Raintree, Batu Caves di sini pada 11.13 pagi, 17 Jan 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Hidayat yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia tidak berniat untuk menghina agama lain.

Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam memandangkan tertuduh menerbitkan penerbitan yang boleh menggugat keamanan negara apabila menyentuh isu agama melibatkan sambutan Thaipusam.

"Tertuduh sepatutnya lebih berhati-hati dan sensitif apabila menulis (penerbitan) di laman Facebook agar tidak menyentuh sensitiviti agama lain.

"Hukuman yang bakal dijatuhkan ini penting kerana ia mencerminkan mahkamah memandang serius kesalahan ini selain dapat memberi amaran kepada masyarakat awam bahawa kesalahan seperti ini tidak dibenarkan oleh undang-undang," katanya yang turut memaklumkan bahawa tertuduh tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Sepanjang prosiding perbicaraan, pendakwaan mengemukakan 19 saksi manakala hanya tertuduh seorang memberi keterangan membela diri.

Facebook, Guru

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain