suria

Henti Segera Penggunaan Vape - Rafidah Aziz

- Gambar hiasan
PETALING JAYA: Kabinet mesti bertindak segera terhadap isu penggunaan rokok elektronik (vape) sebelum tabiat itu berleluasa, kata bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz.

"Jangan biarkan isu vaping mencirikan gaya hidup baru anak muda kita...menjadi masalah di kalangan pelajar sekolah dan remaja.

"Apabila ia berleluasa ia akan menjadi satu masalah besar untuk diuruskan...jangan biarkannya," katanya di laman Facebook, Sabtu.

Beliau berkata, kerajaan tidak perlu mempolitikkan isu-isu kesihatan sambil menambah potensi kesihatan akibat 'vaping' adalah sama dengan tindakan kerajaan yang melihat potensi kesan kesihatan negatif akibat merokok.


"Saya yakin ramai orang awam bimbang, berbanding golongan minoriti yang mahu 'vaping' tidak diganggu," katanya.

Rafidah juga menegaskan tindakan meningkatkan duti ke atas rokok adalah sia-sia jika kerajaan bebas membenarkan 'pengganti rokok' yang sama-sama berbahaya mudah didapati tanpa peraturan dikuatkuasakan.


"Sememangnya akan wujud penghijrahan daripada rokok ke vape," katanya, sambil menambah Singapura dan Australia telah melarang penggunaan vape.

Beliau berkata, sepatutnya tidak timbul isu  tentang berapa banyak nikotin yang mungkin akan membunuh, tetapi ia lebih kepada langkah mencegah tabiat yang baharu terbentuk di kalangan orang muda.

Anak muda, katanya perlu dibentuk untuk mempunyai pemikiran positif dan progresif, bebas daripada kekangan dan bentuk ketagihan kerana ia mempunyai potensi untuk menjejaskan tenaga dan kesihatan mereka.

"Lebih-lebih lagi apabila muda hari ini perlu berada pada tahap terbaik untuk bersaing," katanya.

Walau bagaimanapun, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata arahan terkini Kementerian Kesihatan yang hanya membenarkan ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar menjual perasa vape yang dicampur nikotin akan 'menjejaskan industri yang dikuasai orang Melayu'.

Katanya, beliau terkejut dengan langkah kementerian itu, mengatakan bahawa penjual vape tidak boleh lagi meneruskan perniagaan kerana kebanyakan farmasi dimiliki syarikat-syarikat gergasi, termasuk 'tauke' asing", katanya dalam entri Facebook terbarunya, Selasa.

Beliau berharap Kementerian Kesihatan dapat mengkaji semula cadangan dengan mengambil kira kerugian yang mungkin ditanggung perniagaan ini.

Ismail Sabri juga mahu perasa vape buatan Malaysia dikenali global.
vape, nikotin, Tan Sri Rafidah Aziz

Artikel Berikut

Artikel Lain