suria

Miksudiar Makin Sihat, Namun Tetap Membisu

Wakil Kumpulan Media Star termasuk penulis (kanan) ketika melawat Miksudiar di HRPZ II, Isnin.

KOTA BARU: Boleh dikira patah perkataan yang keluar daripada mulutnya, namun raut wajah dan senyuman yang dilemparkan Miksudiar Aluj, cukup untuk menggambarkan perubahan positif kanak-kanak Orang Asli itu.

Berbeza ketika kali pertama dia ditemui selamat pada 9 Oktober lalu dalam keadaan yang menyayat hati, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi berusia 11 tahun itu kini dilihat kembali normal dan bertenaga.

Namun apa yang pasti jelas kelihatan Miksudiar masih dihantui trauma selepas 46 hari bertarung nyawa sebelum ditemui di tebing Sungai Perias, Pos Tohoi, Gua Musang bersama seorang lagi rakannya, Norieen Yaakob; 10.

Ketika dikunjungi di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada Isnin lalu, Miksudiar yang ditemani abang, kakak serta bapa saudaranya menyambut kehadiran kami dengan tangan terbuka.

Selain ingin mengetahui mengenai perkembangan kesihatan Miksudiar selepas genap sebulan menerima rawatan, kunjungan wakil mStar Online bersama rakan wartawan Kumpulan Media Star juga bertujuan menyempurakan janji yang dibuat kepada kanak-kanak itu sebelum ini.

Ternyata perjalanan kami dari ibu pejabat di Petaling Jaya, Selangor yang mengambil masa hampir lapan jam berbaloi apabila melihat Miksudiar menjamah nasi dan ayam goreng yang dibelikan untuknya.

Akhirnya, misi bagi menunaikan janji memberi kanak-kanak itu makan ayam goreng seperti yang dimintanya sewaktu kali pertama dia ditemui termakbul.

Harus diakui pada mulanya kami hampir tidak mengenali kanak-kanak berkenaan adalah Miksudiar berdasarkan bentuk fizikalnya.

Bagaimanapun kehadiran kami segera dihidu pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) yang dipercayai ditempatkan di wad kanak-kanak HRPZ II di mana Miksudiar menerima rawatan.

Menurut ahli keluarga Miksudiar, pegawai JKOA berkenaan sentiasa merekodkan kehadiran pelawat khususnya dikalangan petugas media.

Usaha kami untuk berbual-bual dengan Miksudiar tetap diteruskan walaupun beberapa pertanyaan mengenai keadaan dan perasaannya pada ketika ini lebih selesa dijawab melalui anggota keluarganya menggunakan bahasa kaum Temiar.

Sesekali Miksudiar sendiri tersenyum dan hanya mengangguk tanda setuju ketika ditanya sama ada dia hendak pulang menemui keluarganya yang berada di Kampung Gawin.

Menurut bapa saudaranya, Surin Seman, 29, kanak-kanak itu masih terkesan dengan tragedi hitam yang berlaku termasuk apabila terpaksa melihat mayat dua rakannya meninggal dunia di depan mata.

“Keadaannya bertambah baik, sudah boleh makan seperti biasa. Cuma sampai sekarang dia masih kurang bercakap.

“Miksudiar lebih banyak berdiam diri. Mungkin juga dia mahu pulang ke kampungnya secepat mungkin,” katanya.

Ditanya sama ada Miksudiar ada bercerita mengenai pengalaman pahit yang terpaksa ditempuhi bersama enam rakannya yang lain, Surin berkata anak saudaranya itu tidak langsung mahu bercakap mengenainya.

“Dia tak cerita apa-apa pun. Kadang kala dia sebut nak jumpa Norieen, itu sahaja,” katanya.

Selain itu, Miksudiar juga seakan memberi reaksi "menolak" ketika diajak berbual mengenai sekolah dan rakan-rakannya.

Apabila bapa saudaranya bertanya sama ada dia mahu kembali ke sekolah selepas sihat sepenuhnya nanti, Miksudiar menggelengkan kepala sambil memalingkan wajahnya.

Menurut Surin, Miksudiar berkemungkinan dibenarkan pulang ke kampung halamannya pada Ahad ini bergantung kepada perkembangan kesihatannya.

“Sepatutnya Miksudiar sudah boleh keluar hospital minggu lepas, tapi doktor tak benarkan kerana dia demam," katanya.

Kunjungan saya dan rakan wartawan berakhir dalam suasana  ceria yang pasti tidak akan dilupakan.

Walaupun kelihatan agak penat selepas menerima lawatan kami hampir sejam, Miksudiar dilihat bertambah mesra malah sudi bersalaman sebelum kami meninggalkannya.

Miksudiar dan Norieen merupakan antara tujuh murid SK Tohoi dilapor melarikan diri dari asrama sekolah pada 23 Ogos lalu kerana takut dikenakan tindakan oleh guru mereka selepas didapati mandi di sungai berdekatan tanpa kebenaran.

Lima yang lain ialah Sasa Sobrie, 8, Ika Ayel, 9, Juvina David, 7, Linda Rosli, 8 dan Haikal Yaakob, 8 - berasal dari Kampung Gawin dan Kampung Penad. Bagaimanapun hingga kini, Haikal masih belum ditemui.




Miksudiar Aluj, Orang Asli, Pos Tohoi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain