suria

Kerajaan Pertimbang Tetapkan Peraturan Kandungan Nikotin Dalam Vape

IPOH: Kerajaan menimbang untuk menetapkan peraturan bagi memastikan kandungan nikotin dan bahan kimia yang terdapat dalam rokok elektronik atau vape tidak memudaratkan pengguna.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata menetapkan peraturan lebih baik daripada mengharamkan penggunaan rokok elektronik itu.

"Apa yang penting bukan mengharamkan (penggunaan vape), lebih baik menetapkan peraturan misalnya dari segi nikotin ... dihadkan berapa peratus.

"Dari segi penggunaan bahan kimia perlu mengikut peraturan yang dibenarkan oleh kerajaan supaya tidak timbul soal risiko terhadap pengguna," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Negeri Perak di sini Sabtu.

Pada Jumaat Kabinet memutuskan untuk tidak mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

Ismail Sabri berkata Kementerian Kesihatan sedang menjalankan kajian dari segi risiko penggunaan vape dan kementerian itu juga diminta untuk memberi pendidikan kepada pengguna berkaitan kesan penggunaannya.

Katanya laporan daripada United Kingdom mengenai penggunaan vape mengatakan bahawa bahaya penggunaan rokok elektronik itu hanya lima peratus berbanding menghisap rokok.

Dalam pada itu, beliau berkata penggunaan vape merupakan fenomena baharu dalam kalangan anak muda dan mereka bukan sahaja menggunakannya tetapi turut menjual perisa dan peralatan rokok elektronik itu.

"Vape ini dari segi potensi ekonominya begitu besar, Malaysia merupakan negara kedua selepas Amerika yang mempunyai pendapatan yang tinggi menerusi industri itu," katanya.

Mengenai had umur pelantikan ketua kampung, Ismail Sabri berkata kementerian mencadangkan supaya jawatan sebagai ketua kampung disambung selepas umur 65 tahun.

Katanya beliau akan berbincang dengan Menteri Besar dan Exco di semua negeri berhubung perkara itu dan menurutnya pelantikan ketua kampung adalah dua tahun sekali dan pelantikan itu dibuat oleh negeri.

"Kabinet sebelum ini telah memutuskan bahawa 65 tahun gugur sebagai ketua kampung. Bagaimanapun, kementerian akan mencadangkan mungkin ada sedikit pengecualian dalam keadaan tertentu," katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata kementerian juga bercadang untuk menetapkan syarat pelantikan sebagai pengerusi JKKK adalah mereka perlu berdaftar sebagai pengundi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain