suria

Proses Siasatan Jenayah SPRM Tidak Tertakluk Semakan Kehakiman - Peguam Kanan

PUTRAJAYA: Proses siasatan jenayah dijalankan oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh dicabar di mahkamah melalui semakan kehakiman, Mahkamah Persekutuan di sini diberitahu pada Selasa.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan berhujah bahawa Seksyen 31 (a) Akta SPRM membenarkan pegawai penyiasat untuk memanggil mana-mana orang yang mengikut pendapatnya mungkin dapat membantu siasatan berhubung kesalahan di bawah Akta SPRM.

Beliau berkata pegawai berkenaan boleh memanggil mana-mana orang dan tidak semestinya suspek atau saksi sahaja.

Suzana mewakili SPRM dalam rayuan untuk menguatkuasakan semula notis yang dikeluarkan kepada dua peguam - Latheefa Beebi Koya dan Murnie Hidayah Anuar, yang dikehendaki hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk membantu siasatan membabitkan pengerusi eksekutif National Feedlot Centre (NFC) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Suzana berhujah, pegawai tersebut bertindak dengan niat baik apabila mengeluarkan notis yang dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.

Beliau berkata pegawai SPRM yang menjalankan siasatan dilindungi daripada sebarang tindakan undang-undang di mahkamah mengikut Seksyen 72 Akta SPRM.

Peguam M. Puravelan, bagaimanapun berhujah bahawa proses siasatan boleh tertakluk kepada semakan kehakiman.

Beliau berkata ia terletak pada budi bicara pegawai penyiasat untuk memanggil mana-mana individu dan tindakan menggunakan budi bicara boleh disemak oleh mahkamah.

Puravelan berkata dalam kes ini, berdasarkan adanya fakta yang selaras bahawa notis dikeluarkan kepada kedua-dua peguam tersebut adalah dengan niat jahat dan menurutnya adalah menjadi kewajipan mahkamah untuk mencelah apabila menjalankan budi bicara.

Panel lima hakim yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum yang mendengar rayuan itu, menangguhkan keputusan ke satu tarikh yang akan ditetapkan.

SPRM mengeluarkan notis mengikut Seksyen 30 (1)(a) Akta SPRM kepada kedua-dua peguam berkenaan pada 23 Mac, 2012, mendorong mereka untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan notis itu.

Mereka berjaya membatalkan notis bertarikh 19 Mac, 2012 itu apabila Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan mereka bagi semakan kehakiman pada 30 Jan, 2013 dan membatalkan notis tersebut.

Mahkamah Rayuan, pada 17 November tahun lepas, menolak rayuan dikemukakan oleh perayu - SPRM, kerajaan dan penolong penguasa SPRM Suziana Ali sebagai responden.

Mereka memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan pada 6 April, tahun ini untuk meneruskan rayuan di Mahkamah Rayuan untuk mahkamah memutuskan tentang satu persoalan undang-undang.

Persoalan itu adalah sama ada proses siasatan jenayah seperti notis siasatan yang dikeluarkan di bawah Seksyen 30 (1)(a) Akta SPRM tertakluk kepada semakan kehakiman. - BERNAMA

Artikel Lain