suria

Tahap Kesedaran Pemandu Mengenai Laluan Kecemasan Lebuh Raya Masih Rendah - LLM

KUALA LUMPUR: Tahap kesedaran pemandu dan pengguna lebuh raya terhadap penggunaan lorong kecemasan lebuh raya di negara ini masih rendah, kata Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ismail Md. Salleh.

"Tujuan sebenar penggunaan lorong kecemasan ini adalah untuk kenderaan yang menghadapi kerosakan di lebuh raya dan bukannya berhenti di situ.

"Malangnya, saya lihat beberapa kes kemalangan lebuh raya yang berlaku akhir-akhir ini disebabkan kenderaan yang berhenti di lorong kecemasan," katanya.

Ismail berkata demikian sebagai merujuk beberapa nahas yang membabitkan kemalangan maut yang berlaku di lorong kecemasan lebuh raya di negara ini.

Antaranya ialah kemalangan di KM 258.8 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) dekat Kemaman pada 14 Oktober lepas yang meragut nyawa enam sekeluarga selepas kenderaan yang dinaiki mereka terperosok di bawah sebuah treler yang bertindak memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan.

Menurut Ismail pengguna perlu mematuhi Prosedur Standard Operasi (SOP) tertentu dan tidak menggunakan laluan berkenaan sewenang-wenangnya bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Dalam kemalangan pada 17 Oktober lepas pula, seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut selepas terlanggar belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan di KM66.3 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Pendang.

Mengulas lanjut, Ismail berkata lorong kecemasan di lebuh raya, dikhususkan  untuk kenderaan yang rosak dan kenderaan pasukan keselamatan seperti polis, bomba serta ambulans sekiranya berlaku kecemasan.

Justeru, beliau menggalakkan pemandu membeli papan tanda merah berbentuk tiga segi bagi memberi isyarat kepada pengguna lain terutamanya kepada penunggang motosikal pada waktu malam.

"Ini kerana kebanyakan penunggang motosikal menggunakan lorong itu ketika berada di lebuh raya dan mereka dapat memperlahankan kenderaan serta bersedia sekiranya mereka terlihat alat itu diletakkan di laluan kecemasan," katanya.

Tambahnya, unit peronda juga akan membantu meletakkan lima buah kon sekurang-kurangnya tiga atau lima meter daripada kenderaan yang rosak bagi memberi isyarat jelas kepada pengguna lebuh raya lain.

"Unit peronda biasanya akan mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk tiba di lokasi kejadian...kemudian, mereka (unit peronda) akan menanyakan masalah yang dihadapi kepada pengguna.

"Jika masalah yang mereka hadapi itu kecil seperti tayar pancit, anggota unit peronda akan membantu menukar tayar itu di laluan berkenaan tetapi jika kerosakan yang dihadapi itu teruk, khidmat trak penunda akan dipanggil untuk membawa keluar kenderaan secepat mungkin dan dihantar ke plaza tol berdekatan," katanya.

Ismail juga turut menasihati pengguna khususnya yang berkeluarga untuk mengarahkan kesemua anggota keluarga mereka keluar dari kenderaan yang rosak dan menunggu di belakang rel andang bagi mengurangkan risiko nahas.

"Harus diingat, pemanduan di lebuh raya tidak sama dengan jalan raya dan saya rasa kebanyakan pengguna mungkin telah lupa SOP sebenar khususnya penggunaan di lorong kecemasan yang terdapat di lebuh raya," katanya. - BERNAMA

laluan kecemasan, LLM

Artikel Lain