suria

Letupan bom Sungai Golok: PDRM tingkat kawalan sempadan Malaysia-Thailand

Pasukan sekatan jalan raya turut digerakkan dengan kekuatan enam anggota.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mempertingkatkan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand susulan letupan bom dan bunyi tembakan yang dipercayai berlaku di kawasan Gualosira, Pasemas Daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat.

Kejadian berlaku pada awal pagi Isnin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata PDRM juga pada masa sama akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand.

"Keselamatan penduduk yang menetap di kawasan berhampiran sempadan negara perlu diutamakan termasuklah keselamatan anggota PDRM yang bertugas di kawasan berkenaan," katanya pada Isnin.

Razarudin berkata, semua Ketua Polis Negeri terutamanya Kelantan, Perlis, Kedah dan Perak diminta bersiap-siaga berhubung insiden berkenaan.

Sementara itu, Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar berkata, pihaknya berada dalam keadaan siap-siaga.

Antara langkah yang akan diambil termasuk melakukan satu rondaan jalan kaki dan bermotosikal sepanjang 16 pos statik pasukan itu.

"Pihak kami menjangkakan kejadian berkenaan berlaku di sebelah Thailand di sempadan kawasan Rantau Panjang.

"Secara proaktifnya, kami mempunyai 16 pos statik di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pos Ibrahim Pencen hingga ke Pos Ular di Pengkalan Kubor, Tumpat," katanya.

Tambahnya pasukan sekatan jalan raya turut digerakkan dengan kekuatan enam anggota yang dijalankan secara berterusan bermula sejak 6 pagi

Tindakan selanjutnya bergantung kepada arahan Ketua Polis Negeri.

Terdahulu, tular klip video berkait insiden berkenaan selepas dimuat naik oleh penduduk tempatan menerusi laman sosial Facebook dan TikTok. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain