suria

Lebih 30 Rakyat Malaysia Jadi Mangsa Jenayah Siber Setiap Hari

SERDANG: Seramai 30 rakyat Malaysia menjadi mangsa jenayah siber setiap hari, dengan kebanyakan kes disebabkan oleh penipuan dan pencerobohan secara dalam talian.

Dan paling membimbangkan bilangan itu hanya sebahagian sahaja kerana lebih banyak lagi kes yang tidak dilaporkan atau tidak disedari mangsa.

Virus yang tersebar dalam telefon pintar atau komputer untuk mendapatkan kata laluan perbankan, akaun media sosial yang dihubungkan menerusi perkhidmatan jalur lebar mudah alih (WiFi) di tempat awam mungkin terdedah kepada ancaman godam, manakala yang lain disebabkan oleh taktik lama dalam penipuan siber.

"Kelemahan dalam keselamatan siber adalah orang ramai," kata Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Dr Amirudin Abdul Wahab.

Beliau berkata, rakyat Malaysia semakin celik teknologi, namun masih kurang pemahaman mereka mengenai bagaimana untuk melindungi diri secara dalam talian.

Beliau menegaskan bahawa pendidikan lebih baik mengenai bagaimana untuk mengendalikan tetapan di laman web akan mengurangkan bilangan rakyat Malaysia yang "mudah tertipu" dan kes jenayah siber, yang dilihat semakin meningkat setiap tahun.

"Kita menawarkan kira-kira 26 program di laman web kami di cyberguru.my yang meliputi peringkat asas sehingga profesional dalam latihan keselamatan siber.

"Kita mahu mendidik orang ramai supaya menjadi pengguna Internet yang bijak, bagaimana untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa dan bagaimana untuk menangani masalah sekiranya mereka telah menjadi mangsa," katanya.

Antara kursus yang ditawarkan termasuk kelas untuk ibu bapa supaya memantau anak-anak mereka dan bagaimana untuk menapis kandungan yang dilayari anak-anak di Internet, bagaimana untuk mengenal pasti emel yang mungkin mempunyai virus. Kebanyakan kelas mengambil masa sehari sehinga dua hari.

Setakat ini, CyberSecurity menerima 3,752 kes penipuan dan pencerobohan secara dalam talian, dan mengejutkan apabila sebanyak 191,096 laporan mengenai ancaman atau serangan virus botnet atau malware dalam alamat Internet Protokol (IP) pada tahun ini.

Artikel Lain