suria

Jerebu: Ladang Dan Ternakan Turut Terjejas

Dalam keadaan berjerebu, petani Ong Siew Seng, 68, memeriksa sayur di ladangnya di Kampung Paya Rumput, Sungai Udang, Melaka. —foto A.MALEX YAHAYA/The Star
PETALING JAYA: Berjuta-juta ekor ayam mati dalam masa sebulan, hasil pertanian semakin berkurangan, sayur-sayuran menjadi layu, dan pengguna terakhir akhirnya menjadi golongan yang mengalami kerugian terbesar kerana jerebu.

Pengeluaran sayur-sayuran di beberapa negeri turun sebanyak satu pertiga, menyebabkan harga meningkat sehingga lebih dua kali ganda. Petani menyatakan bahawa jika jerebu berterusan, harga akan menjadi lebih tinggi.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Pulau Pinang dan Seberang Perai Loo Choo Gee menganggarkan bahawa secara purata dua hingga tiga juta ayam daging di kawasan utara Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak mati kerana jerebu dalam tempoh sebulan.

Beliau menambah, perkara ini telah menjadi satu isu besar setiap tahun dan pada masa-masanya, kadar kematian boleh meningkat sehingga empat juta daripada 50 juta yang dihasilkan dalam sebulan di Semenanjung Malaysia.

"Ayam lebih sensitif kepada jerebu berbanding manusia. Ia mempunyai masalah pernafasan dan menjadi lemah. Kita perlu memberikannya vitamin. Apabila mereka lemah, mereka lambat berkembang dan ini tidak baik," kata Choo Gee, yang juga seorang petani.

Beliau berkata semasa jerebu mereka perlu menaikkan harga ayam pada kadar 10 sen ke 20 sen sekilo dari harga sekitar RM4.50 kepada RM4.70.

"Ramai petani cuba untuk menyimpan ayam baka supaya mereka boleh menghasilkan lebih banyak telur. Tetapi ia juga menjadi lemah semasa jerebu dan menghasilkan telur yang sedikit," kata Choo Gee.

Pengerusi Persatuan Penternak Sarawak Lee Jin Chiaw berkata pengeluaran telur telah menurun sebanyak kira-kira dua peratus.

Di Johor, pemilik Lew Brothers Poultry Farm Sdn Bhd, Lew Kim Huat berkata pengeluaran telur di dua ladang di Ulu Tiram dan Layang telah menurun kepada kira-kira lima peratus sejak awal jerebu.

"Ayam menjadi resah dan lemah," katanya sambil menambah kira-kira 28,000 daripada 700,000 ayam juga mati akibat lemas, kira-kira dua kali ganda jumlah biasa kematian.

Kim Huat berkata, biasanya setiap ekor ayam menghasilkan 25 biji telur tetapi dalam tempoh sebulan lalu, mereka hanya menghasilkan antara 15 hingga 20 biji telur sahaja.

Di Kota Tinggi, Johor, kos kacang panjang meningkat RM6 sekilogram berbanding RM2 hingga RM3 sebelum berlakunya jerebu.

Seorang pemborong, Tan Pak Looi, memberi amaran bahawa harga cili kini adalah RM6 sekilogram dan dijangka meningkat dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.

Cili-cili yang ada pada masa kini 'terselamat' daripada kenaikan harga kerana ia telah ditanam dan dituai sebelum jerebu, katanya.

Oak Looi berkata, pengeluaran sayur-sayuran telah merosot kerana kekurangan cahaya matahari manakala kekurangan hujan telah memburukkan lagi keadaan.

Pengerusi Persatuan Pemborong Sayur bahagian pulau Pulau Pinang Tan Ban Ben berkata harga sayur-sayuran tertentu meningkat dua kali ganda disebabkan oleh jerebu.

"Cuaca juga telah menjejaskan pengeluaran daun bawang dan saderi yang mengakibatkan harga meningkat dua kali ganda," katanya sambil menambah harga daun bawang adalah RM5 hingga RM6 dua minggu lalu, tetapi harga borong kini menjadi RM12.

Seorang pembekal sayur-sayuran di George Town, V. Raj, 47, berkata harga borong sayur-sayuran dari Cameron Highlands telah meningkat sebanyak 50 peratus.

"Keuntungan juga telah menurun sekurang-kurangnya 20 peratus. Harga brokoli Cina (kailan) meningkat dari RM2.50 kepada RM5 manakala kubis Cina juga meningkat kepada RM2.50 dari RM1.20 dan tomato dari RM4 kepada RM6," katanya.

Petani Khor Tiam Seng, 38, dari Cameron Highlands, berkata pengeluaran sayur-sayuran di sana telah menurun sebanyak 10 hingga 20 peratus.

"Saya terpaksa menaikkan harga untuk mengekalkan keuntungan. Akhirnya pelangganlah yang terpaksa membayar lebih. "

Artikel Berikut

Artikel Lain