suria

Pembangunan Internet: Kerajaan Tumpu Kelajuan, Liputan dan Kemampuan

Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia memberi tumpuan pada kelajuan, liputan dan kemampuan dalam pembangunan Internet negara dan akan memastikan menjelang 2020, sekurang-kurangnya 95 peratus daripada rakyat  mempunyai akses Internet.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kerajaan juga mahu memastikan bahawa sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kawasan bandar dan 20 peratus kawasan luar bandar mempunyai kelajuan jalur lebar 100 megabit sesaat (Mbps).

"Fokus Malaysia ialah kelajuan, liputan dan kemampuan. Ini bermakna kos (kemampuan) adalah satu perkara yang saya sedang kaji, yang juga perkara yang dibangkitkan oleh (pemimpin veteran DAP) Lim Kit Siang," kata beliau menerusi catatan terbaru dalam blognya, sskeruak.blogspot.my, di sini malam Selasa.

Beliau berkata di Malaysia, kadar penembusan Internet ialah 67 peratus daripada penduduk.

Walaupun, ia masih rendah berbanding Korea Selatan (92 peratus), Brunei (75 peratus), Jepun (86 peratus), Singapura (80 peratus) dan Taiwan (80 peratus) tetapi Malaysia jelas mendahului negara-negara lain di Asia, katanya.

Salleh berkata purata kadar penembusan Internet seluruh Asia hanya 38.8 peratus dan 73.5 peratus bagi seluruh Eropah dan pastinya Amerika Utara mengatasi negara-negara lain di dunia pada 87.9 peratus.

"Seperti yang saya nyatakan semalam, kami bercadang untuk menawarkan 95 peratus daripada Perkhidmatan Internet kepada rakyat Malaysia menjelang 2020, iaitu cuma tinggal lima tahun dari sekarang.

"Dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bercadang untuk membelanjakan kira-kira RM9 bilion menjelang 2020 bagi mencapai matlamat ini," kata beliau.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain