suria

Ancaman Pengganas: MCA Gesa Rakyat Bertenang Tetapi Berwaspada

Liow Tiong Lai.

PUTRAJAYA: Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menggesa rakyat Malaysia supaya bertenang namun pada masa sama mengambil langkah berjaga-jaga berikutan ancaman pengganas di Jalan Alor, Kuala Lumpur.

Menteri Pengangkutan itu juga berkata, beliau yakin pihak polis dapat memastikan keadaan terkawal sebagaimana insiden sebelum ini.

"Negara kita sentiasa mengambil perhatian terhadap ancaman pengganas. Kumpulan militan Negara Islam (IS) memberi amaran kepada semua dan Malaysia tidak terkecuali, oleh itu kita perlu berjaga-jaga.

"Saya memuji pihak polis dan pasukan risikan kita yang melakukan tugas dengan baik dalam menghentikan beberapa ancaman di negara ini. Kita berharap mereka akan mempertingkatkan pengawasan mereka berhubung perkara ini.

"Tetapi kita perlu bertenang dan yakin sepenuhnya terhadap pihak polis yang boleh menjalankan tugas dengan baik," kata Liow pada sidang media, Jumaat.

Liow mengulas mengenai amaran keselamatan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur berhubung kemungkinan ancaman pengganas di jalan tumpuan pelancong di Jalan Alor.

Kedutaan AS menasihatkan rakyatnya supaya mengelakkan daripada berada di jalan berkenaan dan kawasan sekitar pada Khamis selepas maklumat yang boleh dipercayai mendedahkan terdapat kemungkinan serangan keganasan di kawasan tersebut.

Artikel Lain