suria

Ambil Langkah Pencegahan Awal Elak Penyakit Anjing Gila

Pegawai Veterinar Pulau Pinang, Dr Noraini Ahmad memberi suntikan vaksin anti penyakit anjing gila kepada seekor anjing di pejabat Veterinar Butterworth, Jumaat.

KUALA LUMPUR: Orang awam yang tinggal di kawasan yang diwartakan sebagai Kawasan Jangkitan Penyakit Anjing Gila atau Rabies dan kawasan penampan Rabies diminta mengambil langkah pencegahan bagi mengelak terkena jangkitan wabak itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu penting bagi memastikan negara ini kekal bebas daripada kes-kes berkaitan.

"Antara langkah-langkah yang disyorkan ialah dapatkan rawatan segera jika digigit anjing peliharaan atau anjing liar, dan terus melaporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sekiranya mengesan kewujudan anjing liar di kawasan kediaman.

"Selain itu, orang awam diminta sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun selepas kontak dengan anjing peliharaan," katanya dalam kenyataan Sabtu.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga 17 September 2015, tiga negeri telah diwartakan sebagai kawasan jangkitan iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Namun, beliau berkata, walaupun tiga negeri itu telah diwartakan sebagai kawasan jangkitan, sehingga hari ini, tiada pesakit/manusia yang positif dijangkiti wabak Rabies.

"Sehingga 17 September 2015, terdapat 39 kejadian gigitan anjing pada manusia (25 di Perlis, sembilan di Kedah dan lima di Pulau Pinang yang melibatkan 39 ekor anjing di mana 10 telah disahkan positif Rabies.

"Kesemua mereka yang digigit telahpun mendapatkan rawatan berserta dengan vaksin anti-Rabies di hospital, berkeadaan stabil dan tiada gejala penyakit Rabies. Mereka ini akan terus dipantau dalam satu tempoh tertentu bergantung kepada status kesihatannya," katanya.

Menerangkan lanjut, Dr Noor Hisham berkata, Rabies adalah sejenis penyakit zoonosis yang disebabkan Lyssavirus yang boleh menjangkiti manusia melalui luka gigitan oleh anjing yang dijangkiti Rabies dan juga melalui luka di kulit manusia yang terdedah kepada air liur, cairan atau tisu tubuh dari haiwan yang dijangkiti Rabies.

"Tempoh inkubasi Rabies pada manusia adalah dalam tempoh 2-12 minggu tetapi terdapat laporan menyatakan boleh sehingga enam tahun," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, individu atau manusia yang dijangkiti Rabies akan mengalami tanda klinikal seperti demam, sakit badan dan kepala, hidrofobia (takut pada air), lumpuh dan koma.

"Penyakit Rabies boleh menyebabkan kematian 100 peratus pada manusia sekiranya tidak dirawat dengan segera," katanya.-- Bernama





Anjing Gila, Rabies

Artikel Sebelum

Artikel Lain