suria

Pemandu Lori Ditahan Miliki Ganja Hampir 4 Kilogram

ALOR GAJAH: Seorang pemandu lori ditahan kerana memiliki dadah disyaki ganja seberat 3.97 kilogram yang dianggarkan bernilai RM10,000 di rumahnya di Kampung Pegoh Dalam di sini Sabtu lepas. 

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt Muhammad Ismail Muhammad Yusuf berkata, kesemua dadah berkenaan ditemui dalam sembilan bungkus plastik kecil berisi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki daun ganja dan satu bekas plastik berisi ceraian tumbuhan yang sama dalam serbuan kira-kira 11.30 malam.

"Ketika serbuan suspek berada di pangkin hadapan rumahnya bersama beberapa paket kecil dadah berkenaan dan dadah selebihnya ditemui dalam beg di salah sebuah bilik di rumahnya.

"Siasatan awal mendapati suspek membungkusnya dalam paket kecil untuk dijual semula pada harga RM50 hingga RM200 sepaket," katanya pada sidang akhbar di sini, Rabu.

Beliau berkata, lelaki berusia 41 tahun itu dipercayai penagih dadah dan juga aktif mengedar dadah di sekitar Alor Gajah sejak setahun lepas.

Muhammad Ismail berkata, ujian saringan urin mendapati lelaki tersebut positif dadah jenis ganja dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan sumber bekalan dadah berkenaan diperoleh.

Katanya, polis percaya penangkapan lelaki yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah itu dapat melumpuhkan sindiket pengedaran dan penagihan dadah di sekitar daerah Alor Gajah.

Beliau berkata, lelaki kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 31 lelaki dan 10 wanita ditahan ketika terlibat dalam parti liar di dua banglo di pusat peranginan di sini dalam serbuan kira-kira 2 pagi Isnin lepas. 

Katanya, seorang lelaki berusia 20-an didapati memiliki dadah jenis ganja seberat 4 gram manakala 21 lagi lelaki dan empat wanita positif dadah pelbagai jenis.

"Ketika serbuan kesemua mereka yang berusia antara 19 hingga 31 tahun itu sedang berpesta. Mereka merupakan pekerja swasta dan penganggur dan berasal dari sekitar Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua mereka saling tidak mengenali dan jemputan untuk menghadiri pesta tersebut diterima melalui aplikasi Whatsapp dan Wechat dan mereka tidak dikenakan sebarang bayaran.

Artikel Sebelum

KPN Nafi Dakwaan 'Tuala Wanita'

Artikel Lain