suria

Undang-Undang Judi Komputer Lebih Tegas Perlu Digubal - Ketua Polis Selangor

SHAH ALAM: Satu undang-undang khusus yang lebih tegas perlu digubal bagi memastikan kegiatan judi berkomputer dapat dibasmi secara keseluruhan, kata Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat.

Beliau berkata, Akta Rumah Judi 1953 tidak lagi sesuai digunakan untuk membasmi kegiatan judi berkomputer berikutan kadar hukuman dan denda yang boleh dikenakan adalah terlalu ringan.

"Malah terdapat banyak 'loop hole' (ruang) yang merencatkan siasatan kami sehingga akhirnya kes terpaksa diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk dikenakan tindakan mengikut Enekmen Hiburan yang hanya mengenakan hukuman denda," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Jumaat.

Abdul Samah berkata, undang-undang yang baharu diperlukan bukan sahaja untuk menghukum sindiket perjudian, malah untuk turut membawa pihak yang bersubahat ke muka pengadilan, antaranya pemilik-pemilik premis yang menyewakan premis mereka kepada sindiket tersebut.

Tambahnya, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 1,244 serbuan dilakukan ke atas pelbagai premis perjudian di Selangor dengan seramai 1,489 orang yang mengurus dan mengendalikan premis perjudian berkenaan ditahan.

"... dan untuk tempoh Julai hingga Selasa lepas, sebanyak 1,211 serbuan telah dijalankan dan polis merampas pelbagai alatan komputer yang dianggarkan bernilai RM11 juta serta wang tunai berjumlah RM118,107," katanya.

Mengulas mengenai indeks jenayah di Selangor, Abdul Samah berkata, jumlah kes yang dicatatkan pada enam bulan pertama tahun ini adalah sebanyak 15,520 kes berbanding 18,550 kes pada tempoh yang sama tahun lepas.-- Bernama


judi komputer, Abdul Samah Mat

Artikel Lain