suria

Bersih 2.0 Gerakkan 2,000 Sukarelawan Pastikan Keselamatan Himpunan

PETALING JAYA: Penganjur Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) akan menggerakkan kira-kira 2,000 sukarelawannya untuk memastikan keselamatan dan menguruskan peserta semasa perhimpunan selama dua hari bagi mendesak Perdana Menteri, DatuK Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan.

Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah pada pelancaran perhimpuan di Dewan Sivik MBPJ pada Jumaat lalu berkata, penganjur masih merekrut ramai lagi untuk membantu dari segi logistik semasa perhimpunan itu.

Menurutnya, beliau turut mengemukakan permintaan kepada pihak polis bagi membantu penganjur dalam memastikan keselamatan semasa perhimpunan berlangsung.

Beliau mengesahkan Unit Amal PAS yang terlibat dalam beberapa perhimpunan sejak beberapa tahun lalu masih belum memutuskan sama ada ia akan menghadiri pada perhimpunan Bersih akan datang.

Pada Jumaat lalu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah berkata, polis akan bekerjasama dengan Bersih 2.0 bagi memastikan keselamatan peserta perhimpunan.

Bagaimanapun, beliau tidak memberi jaminan sama ada pegawainya akan memakai pakaian seragam semasa perhimpunan itu, sambil menambah bahawa antara mereka akan memakai jaket dan pakaian seragam polis dan sebahagiannya akan berpakaian biasa untuk mengendalikan operasi risikan.

"Kami tidak mempunyai masalah dengan penganjuran Bersih sekiranya perhimpunan ini dijalankan mengikut undnag-undang, mendapat kebenaran kepada pemilik lokasi untuk diadakan perhimpunan dan mematuhi Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman," katanya.

Zainol berkata, Bersih telah diminta untuk memperincikan laluan dan jadual perjalanan mereka seperti yang dirancang semasa perhimpunan itu, dan mengemukakannya pada Isnin.

Peserta perhimpunan dijangka berkumpul di Sogo, Dataran Maybank, Masjid Negara, Pasar Seni dan Brickfields sebelum berarak dan berhimpun dekat Dataran Merdeka.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, perhimpunan itu dibenarkan diadakan mengikut lunas undang-undang tetapi beliau tidak akan bertolak ansur dengan gesaan sekiranya menghasut orang ramai untuk menjatuhkan kerajaan.

Bersih

Artikel Lain