suria

Rayuan Kes Rasuah Khir Toyo Ditentukan Akhir Bulan Ini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan dijangka memutuskan rayuan kes rasuah bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, akhir bulan ini.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria memaklumkan demikian kepada pemberita ketika ditanya status kes berkenaan setelah hampir tujuh bulan mahkamah selesai mendengar hujahan kesemua pihak.

Rayuan Khir adalah berhubung sabitan dan hukuman atas pertuduhan mendapatkan dua lot tanah dan sebuah banglo untuk dirinya dan isteri.

Selain itu, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang mempengerusikan panel lima hakim dalam kes tersebut, turut mengesahkan perkara tersebut dan berkata peguam, yang mewakili Khir serta pihak pendakwaan akan dimaklumkan oleh Pendaftar Mahkamah berkenaan tarikh sebenar keputusan.

Hakim Arifin dan Hakim Zulkefli ditemui pemberita selepas majlis sambutan hari raya di Kompleks Mahkamah Jalan Duta dan perasmian pameran 'Magna Carta To Commonwealth Charter', di sini, Khamis.

Kali terakhir kes tersebut didengar oleh Mahkamah Persekutuan ialah pada 19 Jan lepas.

Pada 23 Dis 2011, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Khir, 50, bersalah mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, 47, dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam, dan menjatuhi hukuman penjara 12 bulan ke atasnya.

Hartanah itu dikatakan diperoleh empat tahun lalu daripada Shamsuddin Hayroni yang menjadi pengarah Ditamas Sdn Bhd.

Khir, yang diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dituduh melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Mahkamah Tinggi juga memerintahkan supaya hartanah terbabit dilucutkan hak  dan diserahkan kepada kerajaan.

Pada 30 Mei 2013, Mahkamah Rayuan menolak rayuannya dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi. Khir kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, pameran 'Magna Carta To Commonwelth Charter' (bahasa Latin) yang membawa maksud 'The Great Charter' telah berjaya menarik perhatian orang ramai untuk mengetahui dokumen dan cetusan idea mengenai keadilan dan hak asasi manusia sejak 800 tahun dahulu.

Bahan pameran telah dibawa khas dari London dan ia boleh disaksikan sehingga esok di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sebelum dipamerkan di Kompleks Mahkamah Pulau Pinang pada 10 hingga 14 Ogos ini.

'Magna Carta' bukan sahaja telah mewujudkan kedaulatan undang-undang tetapi juga mencorak asas kebebasan individu serta bertindak sebagai sumber rujukan kepada perjalanan sistem perundangan sesebuah negara.

Malaysia adalah antara enam buah negara Komenwel yang terpilih untuk pameran tersebut selain Scotland, Kanada, Barbados, Malawi dan New Zealand.

Rasuah, Mahkamah Persekutuan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain