suria

Malaysia Kecewa UNSC Gagal Tubuh Tribunal Tragedi MH17

KUALA LUMPUR: Malaysia kecewa dengan kegagalan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) menerima pakai draf resolusi bagi penubuhan sebuah tribunal jenayah antarabangsa sementara untuk membicarakan mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini berkata, draf resolusi itu bertujuan memastikan keluarga dan orang tersayang mangsa kejadian itu mendapat keadilan, manakala pihak yang bertanggungjawab melakukannya menerima hukuman.

"Ia menghantar mesej berbahaya iaitu wujudnya kekebalan bagi mereka yang melakukan jenayah kejam dan membahayakan keselamatan penerbangan awam di ruang udara zon dilanda konflik pada masa akan datang," katanya.

UNSC tidak dapat menerima pakai deraf resolusi itu kerana ditentang Rusia melalui kuasa vetonya walaupun ia mendapat undi sokongan daripada Chad, Chile, Perancis, Jordan, Lithuania, Nigeria, Sepanyol, United Kingdom dan Amerika. China, Venezuela dan Angola tidak mengundi.

Kenyataan itu berkata, Malaysia tetap bertekad memastikan mereka yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu dihukum dan semua anak kapal dan penumpang Penerbangan MH17 mendapat keadilan.

"Kami akan menimbang dan mencari opsyen serta mekanisme pendakwaan lain yang sesuai untuk memastikan keadilan dilaksanakan dan pihak terbabit dipertanggungjawabkan atas perbuatan mereka," katanya.

Malaysia membentangkan deraf resolusi itu di UNSC pada 29 Julai (Rabu) dan inisiatif berkenaan dilakukan bagi pihak lima negara yang menyertai Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) mengenai Penerbangan MH17 yang ditembak jatuh iaitu Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine.

Ia dibentangkan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Resolusi itu dibentang berdasarkan Resolusi UNSC 2166 bertarikh 21 Julai 2014, yang menuntut supaya mereka yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu didakwa dan semua negara memberi kerjasama penuh terhadap usaha mewujudkan kebertanggungjawaban.

Malaysia dan negara yang menyertai JIT percaya penubuhan sebuah tribunal jenayah antarabangsa oleh Majlis Keselamatan akan memberi isyarat tegas bahawa masyarakat antarabangsa komited mengenakan tindakan terhadap mereka yang mengancam keamanan dan keselamatan antarabangsa melalui perbuatan yang membahayakan penerbangan awam.-- Bernama


UNSC, MH17, Liow Tiong Lai

Artikel Sebelum

Artikel Lain