suria

Tony Pua Sahkan Bertemu Pengarang Sarawak Report Banyak Kali

Tony Pua.

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen DAP, Tony Pua pada Rabu mendedahkan beliau bertemu pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown banyak kali di Singapura, Indonesia dan London.

Beliau membuat pendedahan itu dalam sidang akhbar di ibu pejabat DAP di sini.

Mengenai pertemuannya dengan bekas eksekutif PetroSaudi International, Xavier Andre Justo, Pua berkata: "Saya tidak pernah dengar nama Justo sehingga keluar berita bahawa dia ditahan di Bangkok."

Beliau juga menafikan mengenali bekas pengarang Sarawak Tribune, Lester Melanyi yang mendakwa baru-baru ini bahawa Justo telah mengaku bertemu dengan beberapa pemimpin pembangkang yang mahu membeli maklumat untuk memburukkan kerajaan berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di London sebanyak dua atau tiga kali pada 2012 dan 2013.

"Tidak. Saya tidak pernah berjumpa Lester sepanjang hidup saya," kata Anggota Parlimen Petaling Jaya ini mengenai Melanyi yang dalam klip video selama 6.02 minit yang dikeluarkan baru-baru ini memberitahu bahawa hampir 90 peratus kandungan artikel Sarawak Report mengenai syarikat pelaburan kerajaan 1MDB telah diubah suai oleh ahli politik pembangkang untuk memburukkan kerajaan dan menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam klip itu, Melanyi menamakan pereka web berpangkalan di London yang dia mendakwa dilibatkan oleh Rewcastle-Brown untuk mengubah dan mencipta emel selain perjanjian palsu bagi menjadiknnya kelihatan asli.

Pua turut melahirkan rasa tidak puas hatinya mengenai langkah Jabatan Imigresen menghalangnya daripada meninggalkan negara ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di Sepang petang Rabu.

Beliau berkata, beliau sepatutnya terbang ke Jogjakarta, Indonesia menerusi Airasia pada pukul 3.15 petang sebagai sebahagian projek Penang Art District.

"Tiada sebab kenapa. Para pegawai Imigresen mencadangkan saya pergi ke Bahagian Keselamatan Kementerian Dalam Negeri untuk merayu atau memohon kebenaran untuk meninggalkan negara. 

"Saya tidak dihalang sebelum ini. Saya terkejut," katanya.

Pua berkata selepas Indonesia, beliau sepatutnya pergi ke Singapura bagi menghadiri majlis makan malam 'reunion' bersama bekas rakan sekolahnya sebelum pulang ke Malaysia.

"Rancangan saya ialah untuk pulang semula dan bukan melarikan diri," tambahnya.

Sehingga berita ini ditulis, Bernama belum mendapat maklum balas daripada Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen mengenai sebab Pua dihalang daripada meninggalkan negara.

Namun Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu pemberita di Shah Alam pada Rabu, bahawa beliau tidak menolak kemungkinan beberapa individu mungkin ditahan berikutan dakwaan yang dibuat Melanyi bahawa beberapa pemimpin pembangkang telah bekerjasama dengan Sarawak Report untuk memburukkan kerajaan dan menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain