suria

Kementerian Pendidikan Kekal Dasar Penjimatan

BESUT: Kementerian Pendidikan akan meneruskan dasar  penjimatan dalam perbelanjaan pengurusannya seperti yang telah berjaya dilakukan tahun lalu, kata Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.

Katanya beliau gembira apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak  dalam satu perjumpaan dengan kakitangan awam baru-baru ini, mahu usaha Kementerian Pendidikan itu dicontohi oleh kementerian lain.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih dan syabas kepada pihak dalam kementerian termasuk para pentadbir sekolah, pejabat dan jabatan pendidikan yang telah melakukan yang terbaik dalam melakukan perbelanjaan hingga dapat membantu kerajaan menjimatkan sejumlah wang yang besar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama-sama warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), anak yatim dan penduduk di dewan Majlis Daerah Besut, Gong Kemuntong di sini pada Sabtu.

Mengenai pemilihan Naib Canselor universiti dilakukan setiap tiga tahun sekali oleh sebuah jawatankuasa pemilih, Idris berkata sehingga ini pemilihan tersebut dianggap bersesuaian apabila terdapat banyak universiti tempatan berjaya tersenarai antara 300 universiti terbaik peringkat Asia dan dunia tahun ini.

Katanya mereka yang dipilih sebagai Naib Canselor biasanya mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas dan boleh menentukan kejayaan sesebuah universti yang bakal diterajuinya.

Kementerian Pendidikan

Artikel Lain