suria

Tempoh Percubaan Pengecualian Visa Pelancong Dari China - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk memberi tempoh percubaan bagi pengecualian visa pelancong berkumpulan daripada China bagi melihat keberkesanan kepada kadar kehadiran pelancong dari negara berkenaan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu diputuskan jemaah menteri semalam.

Beliau berkata tempoh dan tarikh kuat kuasa pengecualian visa akandiumumkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dalam masa terdekat.

"Manakala bagi pelancong individu, masih dicari jalan untuk dilaksanakan," katanya pada sidang media sebelum majlis berbuka puasa bersama 200 anak yatim dari kawasan Parlimen Bagan Datok di Kompleks Beli-Belah Sogo pada Sabtu.

Beliau sebelum ini menggesa pemansuhan visa terhadap pelancong China agar disegerakan sebagai usaha meningkatkan jumlah kemasukan pelancong asing ke Malaysia.

Mohamed Nazri dilapor sebagai berkata ia bagi meningkatkan kadar kedatangan pelancong asing yang direkod merosot kepada 6.5 juta orang bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini daripada 7.1 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh menarikperhatian bahawa kerajaan bagaimanapun tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan.

"Beberapa mekanisme untuk menentukan supaya mereka pulang ke negara asal mereka untuk tempoh tertentu sedang dicari bersama-sama dengan pihak Imigresen,Polis Diraja Malaysia dan beberapa pihak penguatkuasa yang lain," katanya.

Ahmad Zahid berkata kerajaan sebelum ini pernah menarik balik Visa SewaktuTiba (Voa) kepada pelancong negara itu namun ia kemudian ditarik balik disebabkan beberapa masalah seperti mereka tinggal melebihi tempoh masa dan ada yang bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO).

Anak-anak yatim berkenaan turut dibawa membeli-belah pakaian hari raya di kompleks itu.

Visa pelancong China

Artikel Lain