suria

Kerajaan Dicadang Serap Malim Gunung Ke Dalam Smart

KUALA LUMPUR: Seorang anggota Parlimen pada Selasa mencadangkan kerajaan menyerapkan malim gunung ke dalam Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

Datuk Jumat Idris (BN-Sepanggar) berkata malim gunung yang mempunyai kepakaran mengenai kawasan tinggi mampu memberikan sumbangan dalam operasi mencari dan menyelamat jika bencana berlaku di kawasan tanah tinggi.

"Malim gunung ini telah melakukan tugas mereka dengan cemerlang walaupun mereka tidak makan dalam sembilan jam. Jadi saya mohon supaya kerajaan pusat melihat nasib mereka ini.

"Selain daripada memberikan ganjaran, mereka juga harus dinaik taraf menjadi sebahagian daripada anggota SMART untuk operasi mencari dan menyelamat terutama untuk aktiviti menyelamat bagi kejadian di kawasan tanah tinggi," katanya semasa membahaskan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Peranan malim gunung sebagai penunjuk arah dan mengiringi pendaki gunung, mula mendapat perhatian selepas pengorbanan dan usaha mereka membantu pendaki Gunung Kinabalu di Sabah yang terkandas di gunung tertinggi di Asia Tenggara itu ekoran gempa bumi pada Jumaat lepas.

Setakat ini, 16 orang disahkan terkorban dan mereka ialah enam dari Malaysia, Singapura (tujuh), Filipina (satu), China (satu) dan Jepun (satu) susulan gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang berpusat di Ranau.

Smart, Malim Gunung

Artikel Lain