suria

Jakim Tempatkan Ustaz Di Hospital Seluruh Negara

KOTA BAHARU: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menempatkan 60 kadet yang terdiri daripada kalangan ustaz di 60 buah hospital di seluruh negara bagi membantu pesakit beragama Islam.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) JAKIM, Datuk Razali Shahabudin berkata kadet berkenaan akan memberi tunjuk ajar kepada pesakit mengenai cara mengejakan solat dan bertayammum dengan betul semasa sakit.

"Mereka juga akan membantu pihak hospital untuk menguruskan jenazah yang tidak mempunyai saudara serta pelbagai perkara yang bersangkutan dengan agama Islam," katanya kepada pemberita pada simposium kebangsaan Islam Dalam Sains Kesihatan: Vaksin Daripada Perspektif 2015 di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini, Isnin.

Hadir sama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Datuk Che Mohd Rahim Jusoh, Pengarah HUSM Datuk Dr Zaidun Kamari dan pengarah simposium Dr Mujahid Bakar.

Seramai 150 peserta yang terdiri daripada pegawai kesihatan negeri, JAHEAIK, JAKIM dan saintis dari seluruh negara turut serta mengikuti program selama dua hari berkenaan.

Mengulas mengenai simposium berkenaan Razali berkata ia dapat memberi lebih kefahaman kepada peserta mengenai kedudukan sebenar isu vaksin.

"Program ini akan dapat merungkai segala masalah kekeliruan di kalangan masyarakat tentang kedudukan sama ada boleh atau tidak menggunakan bahan atau ubat yang akan dijelaskan oleh pembentang," katanya.

Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya merujuk kepada pihak berkaitan sekiranya mempunyai kekeliruan berkaitan penggunaan vaksin.

Jakim, Hospital

Artikel Sebelum

Artikel Lain