suria

Gempa Sabah: Gambar Malim Gunung Jadi Inspirasi Pelukis

Gambar malim gunung yang menjadi viral dilukis untuk tujuan amal.
KUNDASANG: Gambar seorang malim gunung berbaju hijau sambil mendukung seorang kanak-kanak lelaki yang cedera menjadi viral di media sosial.

Lelaki tersebut juga menjadi inspirasi idea lakaran lukisan oleh pelukis Razie Alfidan yang akan dijual untuk tujuan kebajikan.

Malim gunung, Mhd Rizuan Kauhinin, 25, yang pada awalnya enggan ditemuramah media memberitahu bahawa dia tidak menyedari gambarnya telah dirakam dan tersebar di laman sosial.

"Saya tidak tahu apa yang patut saya rasa," ujarnya ketika ditanya mengenai pandangannya terhadap pengguna media sosial yang menganggap dia sebagai seorang wira.

"Saya bukan orang yang terkenal. Apa yang saya lakukan ialah dengan ikhlas dan bukan untuk popular. Saya benar-benar ingin membantu. Apa yang penting ketika itu ialah membawa budak itu ke tempat selamat," katanya.

Rizuan berkata, dia bersama rakan-rakannya menjumpai budak lelaki tersebut dalam kesakitan berhampiran Villosa Shelter.

"Kanak-kanak itu tidak dapat bergerak kerana cedera di belakang. Kami beri dia makanan dan air," katanya.

"Saya dukung dia dibelakang untuk turun," katanya.

Menurut Rizuan, kanak-kanak tersebut kesakitan sehingga menyebabkan mereka berhenti beberapa kali.

"Dia sering meraung kesakitan kerana tidak tahan sakit. Kami terpaksa berhenti banyak kali, namun saya cuba sedaya upaya untuk bawa dia secepat mungkin ke Kabin Layang-Layang.

"Di sana lebih banyak penyelamat yang menunggu dan beri bantuan selanjutnya," ujarnya.

Setelah bekerja selama lima tahun sebagai malim gunung, Rizuan berkata, ia sudah menjadi tanggungjawabnya untuk memberi bantuan kepada pendaki yang mengalami masalah.

"Sebaik mereka memasuki kawasan taman, ia adalah dibawah tanggungjawab kami untuk memberi bantuan," ujarnya.
malim gunung, Gunung Kinabalu

Artikel Lain