suria

30 Lagi Mayat Mangsa Pemerdagangan Ditemui

Aggota Forensik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) membawa bungkusan yang berisi rangka mayat dari kubur yang ditemui di kem tahanan sindiket pemerdagangan manusia, untuk dibawa keluar dari Lubuk Sireh dekat Wang Kelian pada Ahad. Foto BERNAMA

WANG KELIAN: Sebanyak 30 rangka mayat dipercayai mangsa sindiket pemerdagangan manusia ditemui di dalam 31 liang kubur dan dikeluarkan dari kawasan perkuburan di Bukit Genting Perah melalui kawasan Felcra Lubuk Sireh di sini, Ahad.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan yang sebanyak 99 rangka mayat telah ditemui dan dikeluarkan setakat Ahad.

Ketua Polis Perlis, SAC Shafie Ismail yang dihubungi mengesahkan 31 kubur digali dan hanya satu kubur tidak mempunyai mayat dan jumlah kubur yang belum digali dipercayai 18 ke 20 kubur.

"Sekiranya tiada apa-apa halangan, kesemuanya akan siap digali esok (Isnin)," katanya.

"Saya dimaklumkan hujan lebat tadi pada 3.20 petang dan keadaan (membawa mayat keluar) lebih sukar kerana laluan licin di kawasan bukit," katanya.

Pada 5 Jun, 14 rangka mayat berkafan ditemui dalam 12 kubur yang digali di hutan simpan Mata Air dan semalam 20 rangka mayat berkafan ditemui di dalam 20 liang kubur di tempat sama.

Sebelum itu 35 mayat dan rangka manusia dikeluarkan dari Bukit Wang Burma.

Artikel Lain