suria

Purata Pendapatan Peneroka Felda Pahang RM2,991 Dan RM2,807

KUANTAN: Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang pada Rabu dimaklumkan purata pendapatan peneroka Felda di negeri ini adalah RM2,991.90 sebulan bagi pengusaha kelapa sawit manakala peneroka yang mengusahakan getah memperoleh sebanyak RM2,807.21 sebulan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Abu Bakar Harun berkata, nilai pendapatan itu diperoleh berdasarkan pengiraan harga purata buah tandan segar (BTS) untuk Disember 2014 adalah RM430.29 setan dan harga getah RM5.24 sekilogram.

"Mengikut rekod hasil Felda pada 2014, pencapaian kelapa sawit adalah 20.86 tan sehektar manakala getah pula 1,607 kilogram sehektar. Jadinya, peneroka Felda memperoleh RM8,975 setahun bagi setiap hektar manakala RM8,421 setahun bagi sehektar ladang getah.

"Ini bermakna pendapatan bulanan mereka melebihi paras kemiskinan walaupun berpandukan kepada harga pasaran komoditi dan produktiviti hasil," katanya semasa menjawab soalan Datuk Wan Salman Wan Ismail (BN-Jengka) pada persidangan DUN di Wisma Sri Pahang di sini, Rabu.

Wan Salman ingin tahu pendapatan peneroka supaya mereka tidak berada di bawah paras kemiskinan walaupun harga komoditi jatuh atau kemerosotan komoditi.

Abu Bakar berkata, peneroka yang menyertai program tanaman semula juga akan menerima sara hidup minimum sebanyak RM100 seekar sebulan bersamaan RM1,000 setiap peneroka sebulan.

"Bagi kawasan kebun yang mula berhasil tetapi hasilnya masih belum melebihi kos operasi akan menerima pendahuluan sebanyak RM1,500 setiap peneroka," katanya.

Beliau berkata Felda juga sentiasa memastikan peneroka melaksanakan konsep amalan pertanian baik bagi melipatgandakan pengeluaran.

Felda juga, katanya, menggalakkan peneroka menceburi bidang keusahawanan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana dan penternakan atau tanaman kontan bagi menambah pendapatan.-- Bernama


Pahang, Felda, Abu Bakar Harun

Artikel Lain