suria

Kritikan Tun M Tidak Tepat Dan Tidak Adil - Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu menjawab lagi kritikan yang dibuat terhadap beliau dan kerajaan, dengan memberi fokus kepada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), dan dakwaan yang disuarakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Dalam catatan terbaru beliau melalui blog NajibRazak.com, Najib berkata: "Ia adalah sambungan kepada FAQ (soalan lazim) sebelum ini."

Pada 17 Mei, Najib menyenaraikan 13 tuduhan dan dakwaan berkenaan serta respons beliau melalui blog itu, antaranya tuduhan berkaitan isu Altantuya dan 1MDB.

Dalam respons beliau mengenai kritikan terhadap GST, Najib berkata: "Saya faham bahawa beberapa kebimbangan disuarakan mengenai GST yang diperkenalkan.

"Bagaimanapun, sebagai perdana menteri, adalah tanggungjawab saya untuk membuat keputusan yang betul bagi seluruh rakyat Malaysia, walaupun ia mungkin kelihatan sukar ketika ini.

"Kini, hanya seorang dalam setiap 10 orang rakyat Malaysia membayar cukai pendapatan dan oleh itu, adalah penting bagi kami meluaskan asas percukaian demi kebaikan ekonomi untuk jangka panjang. 

"Lagi pun, adalah penting untuk dimaklumkan bahawa 23 peratus daripada hasil kerajaan ketika ini datangnya daripada minyak dan gas.

"Seperti yang dapat kita saksikan daripada kejatuhan teruk harga minyak global baru-baru ini, Malaysia tidak mampu mengekalkan pertumbuhan dan pembangunannya berdasarkan aliran hasil itu semata-mata.

"Inilah sebabnya kami mengumumkan satu pembaharuan terhadap sistem percukaian, dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan menggantikan Cukai Jualan dan
Perkhidmatan.

"Pengenalan GST akan membantu kita dalam membina ekonomi yang lebih kukuh, lebih lestari dan telus: Ia akan mengurangkan defisit kita, membantu kita
melabur untuk masa depan kita dan menolong memacu ke hadapan pembangunan negara kita.

"Malangnya, daripada berusaha untuk memahami rasional dari segi ekonomi dan manfaat jangka panjang yang akan dibawanya kepada rakyat, sesetengah ahli
politik sebaliknya menyerang pengenalan GST, dengan menggambarkannya sebagai suatu langkah luar biasa dan tidak perlu bagi sebuah negara seperti Malaysia. 

"Sebenarnya, GST bukanlah suatu fenomena baharu. Lebih 160 negara sudah melaksanakannya dan di ASEAN, dalam kalangan jiran-jiran kita, Malaysia adalah negara kelapan yang memperkenalkan cukai ini.

"Di samping itu, kadar enam peratus yang dikenakan di Malaysia sebenarnya adalah antara yang paling rendah di dunia. Secara perbandingan, Filipina, Kemboja, Vietnam, Laos dan Indonesia semuanya mengenakan kadar GST sebanyak 10 peratus.

"Namun demikian, saya dapati, sesetengah peniaga yang tidak bertanggungjawab, kecil dan besar, dengan licik cuba mengambil kesempatan daripada pengenalan GST untuk menaikkan harga lebih daripada kadar enam peratus. Ini tidak boleh diterima sama sekali.

"Saya sudah mengarahkan jabatan berkenaan supaya meningkatkan langkah penguatkuasaan bagi memastikan sebarang kenaikan yang dikenakan pekedai dan pemilik perniagaan mestilah sejajar dengan kadar GST sebanyak enam peratus dan sebarang perbuatan menyalahgunakan sistem ini, yang memberi kesan negatif kepada pengguna, perlulah dihentikan.

Mengenai tuduhan Tun Dr Mahathir, Najib berkata: "Saya menerima kritikan dengan fikiran terbuka dan akan terus menangani kebimbangan serta maklum balas yang tidak berasas. Kita juga mestilah sentiasa menghormati orang tua-tua kita yang telah banyak berjasa kepada Malaysia. 

"Namun demikian, saya tahu ramai yang percaya bahawa kini sudah tiba masanya mereka membiarkan generasi terkemudian untuk mentadbir negara ini dan ini
termasuk mengatasi sendiri masalah serta cabaran yang ada.

"Malaysia adalah negara demokrasi. Saya dipilih oleh UMNO, dan oleh rakyat negara ini untuk memimpin mereka. Jadi, saya mendapat mandat daripada mereka dan
saya bertanggungjawab kepada parti serta rakyat, bukan kepada mana-mana individu. 

"Pada pilihan raya umum dan pemilihan parti akan datang, anggota parti dan rakyat boleh menggunakan hak demokarsi mereka melalui peti undi.

"Di samping itu, banyak kritikan Tun adalah tidak adil atau mengelirukan: beliau menentang pelaksanaan GST, walaupun semua ahli ekonomi berwibawa percaya
bahawa meluaskan asas ekonomi kita merupakan perkara yang betul untuk dilakukan. Hasilnya akan digunakan untuk kebajikan rakyat juga. Sebenarnya, idea ini pertama kali disuarakan semasa pentadbiran beliau. 

"Tun mengulangi khabar angin jahat pembangkang tentang isteri dan keluarga saya.

"Sebagai contoh, ketika berucap di Ipoh baru-baru ini, beliau menyebut tentang kenyataan rekaan yang dijaja pembangkang melalui penggunaan sebuah
artikel Utusan (Malaysia) yang dipinda.

"Beliau juga mengulangi tuduhan jahat yang dimulakan pembangkang semasa pilihan raya umum lepas kononnya isteri saya memiliki cincin berharga RM24 juta.

"Itu adalah suatu pembohongan dan syarikat yang memiliki cincin itu menjelaskan secara terperinci ketika itu bahawa cincin seperti itu tidak pernah dibeli oleh (Datin Seri) Rosmah (Mansor). Adalah dikesali apabila seseorang yang berkedudukan seperti Tun tergamak menyampaikan fitnah seperti itu kepada rakyat.

"Beliau juga mengulangi perbuatan pembangkang yang menimbulkan isu berkaitan pembelian sebuah jet gantian oleh kerajaan dengan mendakwa bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak menggunakan jet itu, dan menggelarkan saya sebagai pembohong. Ini juga tidak benar - malah, baginda merupakan penumpang VIP pertama yang menggunakan jet yang baru diterima itu untuk penerbangan ke Langkawi, dan  baginda akan terus menggunakannya.

"Tun menjadikan cabaran kewangan yang dihadapi 1MDB sebagai alasan untuk menyerang saya.

"Memang benar, 1MDB kini berdepan dengan cabaran, tetapi bukanlah hingga ke tahap seperti yang dituduh itu. Hakikatnya, sesetengah tuduhan yang dibuat itu tidak mempunyai asas, sebagai contoh dakwaan Tun bahawa saya bertanggungjawab bagi kerugian sebanyak RM42 bilion yang terkandung dalam lembaran imbangan 1MDB.

"Nampaknya, ini merupakan suatu perbuatan yang sengaja memutarbelitkan fakta kerana 1MDB tidak mengalami kerugian sebanyak itu. Ini adalah jumlah hutangnya; hutang yang jauh lebih kurang daripada aset syarikat itu yang bernilai RM51 bilion, seperti yang diaudit dan disahkan oleh Deloitte.

"Kebanyakan syarikat besar di seluruh dunia mempunyai kadar hutang yang tinggi, jadi ini bukanlah suatu perkara luar biasa.

"Beliau juga mendakwa saya tidak menjawab isu-isu yang menyelubungi 1MDB, tetapi saya telah pergi lebih jauh daripada itu - dan mengarahkan Ketua Audit Negara melakukan audit terhadap 1MDB, yang hasilnya akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang bersifat dwipartisan.

"Tun sering mendakwa beliau melakukan sesuatu itu kerana itulah apa yang diberitahu oleh rakyat kepada beliau apabila mereka datang berjumpa beliau. Tetapi, beliau perlulah selidik dahulu sama ada tuduhan seperti itu mempunyai bukti dan kebenaran sebelum menyuarakannya. Beliau tentu sedar bahawa kebanyakan tuduhan yang dibuat itu adalah mengenai perkara yang berlaku di bawah pentadbiran beliau dahulu.

"Dan, selalunya, jawapan Tun ialah: "Mana buktinya?" Beliau patut melakukan ujian serupa terhadap apa yang beliau dengar itu.

"Walaupun begitu banyak yang telah dicapai dalam tempoh enam tahun pertama pentadbiran saya, tetapi semua kemajuan yang dicapai negara kita dan BN (Barisan Nasional) tidak diendahkan kerana lebih suka kepada tuduhan tidak berasas dan pembohongan yang dimulakan oleh pembangkang.

"Kebanyakan perkara yang dikatakan oleh Tun tidak mempunyai objektiviti dan tidak betul sama sekali.

"Soalannya ialah - apakah yang menggerakkan Tun memilih saat ini untuk mengulangi tuduhan jahat yang direka kumpulan pembangkang yang sebelum ini
beliau sendiri kecam sebagai pembohong itu?

"Sepanjang 22 tahun beliau berkuasa, Tun selalu mendesak agar anggota parti perlu menyokong kepimpinan dan saya menyokong beliau ketika susah dan senang. 

"Saya berbuat demikian kerana ketika itu, dan malah, hingga kini pun, saya percaya bahawa perpaduan parti merupakan prasyarat bagi apa yang ingin kita capai untuk negara ini. Majoriti besar anggota UMNO masih mengakui bahawa kesetiaan sebenar bererti bekerjasama untuk membina parti demi kebaikan rakyat. 

"Adalah sesuatu yang tidak betul sekiranya Tun dan mana-mana juga anggota parti bertindak melemahkan kepimpinan parti hari ini semata-mata kerana keinginan peribadi mereka tidak dipenuhi. Kepentingan rakyat dan parti adalah jauh lebih penting daripada mana-mana individu tertentu. 

"Saya dipilih secara demokratik oleh parti dan rakyat, dan oleh kerana saya diberi mandat, maka saya akan sempurnakan penggal saya sebagai presiden parti
dan perdana menteri.

"Keutamaan saya ialah untuk memastikan kita mencapai Wawasan 2020 serta transformasi ekonomi, kerajaan dan politik untuk manfaat semua rakyat Malaysia.
-- BERNAMA

PM. Najib Razak

Artikel Lain