suria

Tipu NFCorp: Shamsubahrin Dipenjara Lapan Tahun, Empat Sebatan

Shamsubahrin Ismail

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan Shamsubahrin Ismail dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen pada Isnin selepas didapati bersalah terhadap lima pertuduhan menipu Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail melibatkan RM1.75 juta dan 17 pertuduhan pengubahan wang haram.

Hakim Rozilah Salleh menjatuhi hukuman penjara antara lima dan lapan tahun serta empat sebatan terhadap Shamsubahrin, 49, bagi lima pertuduhan menipu manakala penjara antara enam bulan dan lima tahun bagi 17 pertuduhan pengubahahan wang haram mengikut Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).

Dengan itu, Shamsubahrin hanya perlu menjalani hukuman penjara lapan tahun selepas mahkamah memerintahkan dia menjalani hukuman penjara itu secara serentak bermula pada Isnin.

Rozilah juga memerintahkan tertuduh membayar penalti RM611,895.94 bagi kesalahan di bawah AMLATFA iaitu sejumlah harta yang dilesapkannya.

Katanya, penalti itu yang berkuat kuasa pada Isnin perlu dijelaskan dalam tempoh tiga bulan dan jika gagal bayar tertuduh perlu menjalani hukuman penjara empat tahun.

Bagaimanapun Rozilah membenarkan permohonan peguam Hasnal Rezua Merican untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan menaikkan wang jaminan daripada RM300,000 kepada RM350,000 dengan seorang penjamin.

Dalam prosiding pada Isnin, Shamsubahrin yang berjubah putih, ditemani isteri dan anggota keluarga, kelihatan tenang sebaik hukuman terhadapnya dijatuhkan.

Rozilah dalam penghakimannya, berkata mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh pada akhir kes pembelaan.

Beliau berkata mahkamah sependapat dengan pihak pendakwaan bahawa hujahan pembelaan hanya mengenai kesan terhadap pindaan pertuduhan dan tidak menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

"Hujahan pembelaan hanya membangkitkan isu pindaan dan tidak menyentuh mengenai pengakuan tertuduh yang mereka-reka cerita tentang khidmat pesanan ringkas (SMS) sehingga mendorong mangsa menyerahkan empat keping cek," katanya.

Bagi pertuduhan mengikut AMLATFA pula, Rozilah berkata tertuduh tidak mencabar keterangan yang beliau mendeposit, mengeluarkan, memindah wang seperti pertuduhan.

"Saya percaya ia transaksi hasil daripada penipuan.Mahkamah tidak terima penjelasan tertuduh. Ia berjaya dibuktikan melampaui keraguan munasabah," katanya.

Rozilah turut berkata tertuduh sengaja mengambil kesempatan terhadap keadaan Mohamad Salleh (saksi pendakwaan ke-42) yang ketika itu diserang melalui laporan media dan parti pembangkang berhubung isu pengurusan NFCorp.

Terdahulu ketika rayuan meringankan hukuman, peguam Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin memaklumkan anak guamnya seorang yang inovatif dan telah memberi sumbangan kepada masyarakat antaranya meningkatkan kualti perkhidmatan teksi di Suria KLCC.

Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan (Polisi) Jabatan Peguam Negara Datuk Abdul Razak Musa berkata kesalahan tertuduh adalah serius membabitkan jumlah wang yang besar dan memohon hukuman maksimum dikenakan terhadap tertuduh.

Pada 30 Disember 2011, Shamsubahrin didakwa terhadap lima pertuduhan menipu Mohamad Salleh membabitkan RM1.75 juta dan pada 18 Jun 2012 dia didakwa terhadap 17 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Dia didakwa menipu iaitu menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat dengan menyatakan dia disuruh oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membantu Mohamad Salleh dan menawarkan untuk menjalankan kerja-kerja konsultan bernilai RM2.75 juta sehingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya.

Artikel Lain