suria

Angkasa Perkenal Pakej Ziarah Umrah Hujung Tahun Ini

KUANTAN: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mengambil tindakan proaktif dengan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi untuk melaksanakan pakej ziarah dan umrah bagi anggotanya  dengan kos dianggar 30 peratus lebih murah berbanding pakej biasa.

Presiden Angkasa Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata pihaknya terpanggil menyediakan program dinamakan 'Angkasa Air' itu bagi memudahkan mereka menunaikan ibadat tersebut dengan harga berpatutan dan tidak menghadapi sebarang masalah.

"Kita ada 40 koperasi yang terlibat dengan perniagaan ziarah dan umrah dan kita gabungkannya untuk menjalankan pakej ini secara bersepadu.

"Pada masa ini orang ramai hanya menjadi ahli kepada koperasi itu tetapi apabila hendak pergi umrah, mereka mencari pelbagai syarikat lain sehingga menimbulkan banyak masalah," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian penutup Seminar Zakat Koperasi Infaq Lil-Waqf dan Falak di sini, Isnin.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab Moin dan Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Othman.

Abdul Fattah berkata Angkasa telah berbincang mengenai perkara itu dengan syarikat penerbangan terlibat dan kerajaan Arab Saudi, sebelum ia dijangka dilancarkan hujung tahun ini.

"Kita juga akan memperkenalkan program kasih sayang iaitu ahli boleh membiayai ibu bapa mereka untuk menunaikan ziarah dan umrah.

"Di samping itu, ahli koperasi boleh membuat bayaran melalui potongan gaji dengan konsep bayar dahulu pergi kemudian bagi memudahkan mereka," katanya. -- Bernama

Angkasa, umrah

Artikel Lain