suria

Tun M Anggap Najib "Tak Jawab Apa-Apa"

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan buku "Dr Mahathir's Selected Letters to World leaders Vol 2" di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, Isnin.

PUTRAJAYA: Entri terbaharu menerusi blog Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjawab segala isu kontroversi dalam negara pada Ahad turut dibaca Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir mengakui membaca blog Perdana Menteri yang dikatakan memberi penjelasan mengenai isu-isu semasa, tetapi beliau bagaimanapun mendakwa ia tidak menjawab sebarang persoalan yang dikemukakan rakyat.

“Saya dah baca. Ia tak menjawab apa-apa, hanya kata kes Altantuya adalah kes lama. Ia mungkin kes lama tapi hukuman dijatuhkan pada masa sekarang. Nak jatuhkan hukuman mati kerana tak menurut perintah, itu salah.

“Berkenaan isu lain (1 Malaysia Development Berhad) hanya dijawab tunggu laporan Ketua Audit Negara, itu bukan jawapan, sesiapa sahaja boleh suruh tunggu,” katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Dr Mahathir turut mengulas mengenai isu pembelian pesawat rasmi kerajaan untuk tujuan keselamatan dan kecekapan tugas.

Beliau menambah, Najib menerusi blognya meminta rakyat supaya tidak terpengaruh dengan propaganda pembangkang bahawa kerajaan telah membazirkan wang dengan memberi jet baharu.

“Adakah ia dibeli untuk keselamatan di Sabah. Apa yang telah dilakukan kerajaan untuk keselamatan di Sabah,” soalnya sambil merujuk kepada kes penculikan dua lagi individu di Sandakan, minggu lalu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, rakyat mempunyai hak untuk bertanya tentang isu-isu melibatkan kepentingan negara.

“Kalau jawapan kepada pertanyaan itu ‘tunggulah pemeriksaan’, pemeriksaan itu kadang-kadang kita tak tahu betul ke tak betul,” katanya.

Pada Ahad, Najib menjawab persoalan melibatkan beberapa isu termasuk kes Altantuya, 1MDB, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Umno dan tuduhan mengenai pembelian pesawat kerajaan.

Artikel Berikut

"Dia Memalukan Saya"

Artikel Lain