suria

Polis Tahan Tujuh Ahli Sindiket Curi Kereta Mewah, Rampas Lima Kenderaan

Kereta Porsche Panamera Turbo ditemui di taman permainan di Alor Setar.

KUALA LUMPUR: Polis menahan tujuh ahli sindiket mencuri kereta mewah dan merampas lima kenderaan bernilai RM2.8 juta di Pendang, Kedah dan Selangor, pada Selasa lepas dan Sabtu.

Kesemua kenderaan mewah yang dirampas menerusi Operasi Lejang itu adalah Porche Panamera Turbo, Land Rover Evoque, Audi Asse, Toyota Vellfire dan Bentley Continental.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, kesemua suspek termasuk dua wanita itu berumur antara 22 dan 48 tahun.

"Polis menerima laporan berhubung kejadian pecah bengkel kereta dan kelima-lima kereta mewah itu dilarikan di kawasan Jalan Chan Sow Lin, Cheras pada 19 April lepas.

"Pada Selasa lepas, dua dari kenderaan itu iaitu jenis Porche Panamera dan Bentley ditemui di kawasan taman permainan, Taman Kota Sarang Semut, Pendang, Kedah, namun tiada sebarang tangkapan," katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Zainuddin berkata, sebuah Land Rover Evoque ditemui di Kedah semalam, dan pada 6.15 pagi tadi, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita berumur antara 22 dan 30 tahun di sebuah restoran di PJU 7/7A, Mutiara Damansara, Selangor.

"Susulan itu, pada 8 pagi tadi, polis menyerbu sebuah kondominium di Jalan Persiaran Tropicana, Petaling Jaya dan menahan dua lelaki dan seorang wanita serta merampas sebuah Toyota Vellfire serta Toyota Mark X bagi kes lain yang dilaporkan hilang.

"Pada 5 petang tadi, seorang lagi lelaki ditahan di sebuah apartment di Puchong Utama, Selangor," katanya.

Zainuddin berkata, dua daripada suspek yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau dan kesemua mereka ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan. -- Bernama

Operasi Lejang, Zainuddin Ahmad

Artikel Lain