suria

Sultan Nazrin, Tuanku Zara Ziarah 10 Makam, Satu Batu Peringatan

Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan menyiram air mawar ketika berangkat menziarahi makam Sultan Perak ke-24 Sultan Ali Al Mukammal Inayat Shah bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV di sini, Ahad.

KUALA KANGSAR: Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berangkat menziarah 10 makam sultan terdahulu dan satu batu peringatan bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV.

Pasangan diraja itu tiba di lokasi Batu Peringatan Sultan Mansur Shah I, yang merupakan Sultan Perak kedua, di Masjid Kota Lama Kanan kira-kira 9 pagi.

Sejurus selepas itu, majlis tahlil dan bacaan doa selamat diadakan dengan dipimpin oleh Imam Masjid Kota Lama, Ismail Nordin.

Sultan Nazrin Shah turut menunaikan solat sunat di masjid berkenaan dan pasangan diraja itu dilihat memegang Batu Peringatan Sultan Mansur Shah I.

Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan hadir pada majlis tahlil dan doa selamat ketika berangkat menziarahi Batu Peringatan Almarhum Sultan Mansur Shah I, Sultan Perak kedua di Masjid Kota Lama Kanan bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV.

Mengikut sejarah Perak, Sultan Mansur Shah I ghaib ketika solat Jumaat di masjid itu dan penduduk setempat mempercayai baginda sudah mangkat.Sultan Mansur Shah I tidak mempunyai makam dan batu peringatan itu diletak dalam masjid berkenaan bagi memperingati baginda.

Pasangan diraja itu kemudian menziarah makam Sultan Ali Al Mukammal Inayat Shah yang merupakan Sultan Perak ke-24 di Gedong Siam, Sayong dan makam Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzafar Shah (Sultan ke-27) di Masjid Sayong Tengah.

Pada sebelah petang, Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara berangkat menziarah makam-makam Sultan Abdullah Muhammad Shah II (Sultan ke-26), Sultan Idris Murshidul'adzam Shah 1 (ke-28), Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah (ke-29), Sultan Iskandar Shah (ke-30), Sultan Abdul Aziz Almustasim Billah Shah (ke-31), Sultan Yussuff Izzuddin Shah (ke-32), Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Allahi Shah II (ke-33) dan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (ke-34).

Kesemuanya di Makam Diraja Bukit Chandan, atau dikenali sebagai Makam Diraja Al-Ghufran, yang terletak bersebelahan Masjid Ubudiah.

Baginda berdua menyiramkan air mawar serta menaburkan bunga ke atas makam-makam berkenaan, selain diadakan majlis tahlil dan doa selamat.-- Bernama


Artikel Lain