suria

Statistik Kes Memandu Tanpa Lesen Catat Penurunan

Sebahagian peserta program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) daerah Pendang menunjukkan lesen baharu mereka. Foto BERNAMA.
PENDANG: Statistik kes memandu tanpa lesen menunjukkan penurunan pada tahun lalu iaitu 224,173 kes berbanding 321,671 kes pada tahun 2013, kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Yusoff Ayob. 

Beliau berkata perkara itu didorong oleh kesedaran orang ramai tentang pentingnya mempunyai lesen memandu selain operasi berterusan dijalankan JPJ.

"Memandu tanpa lesen ni, ada apa-apa kemalangan mereka payah nak tuntut, menyukarkan lagi urusan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) daerah Pendang di sini, Sabtu.

Beliau pada masa sama turut menasihati pengguna jalan raya agar lebih berhemah dan mengamalkan sikap bertolak ansur di jalan raya bagi mengurangkan jumlah kemalangan.

"Kita kena ingat jalan raya ini bukan kita yang punya, dah nama jalan raya mestilah untuk orang ramai," katanya.

Yusoff berkata jumlah kes kemalangan pada tahun 2013 mencatatkan peningkatan 3.2 peratus, iaitu sebanyak 477,204 kes, berbanding 462,423 kes pada tahun sebelumnya.

"Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya pula pada tahun 2013 ialah 6,915 orang berbanding 6,917 pada 2012," katanya.

Program SKSJ bertujuan membantu masyarakat luar bandar khususnya warga emas berumur 45 tahun ke atas dan masyarakat Orang Asli berumur 21 tahun ke atas dalam urusan mendapatkan Lesen Memandu Percubaan motosikal.

Sejumlah 302 peserta terdiri daripada 110 orang lelaki dan 192 perempuan terlibat dalam program hari ini.
Lesen Memandu, JPJ

Artikel Lain