suria

PAS Dakwa Kerajaan Pahang Mungkir Janji Kepada Pengundi

MUADZAM SHAH: PAS mendakwa kerajaan negeri memungkiri janjinya kepada pengundi di Rompin kerana terus menaikkan cukai tanah pada kadar yang tidak munasabah.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beberapa penduduk khususnya di Desa Teratai di sini merungut berikutan mereka terpaksa membayar cukai tanah antara RM100 hingga RM300 mengikut keluasan pada 2013.

"Pada asalnya mereka hanya membayar RM20 kepada Pejabat Tanah Daerah Rompin (PTD) namun pada 2013 mereka terkejut kenaikan melebihi 100 peratus.

"Kenaikan tersebut tidak masuk akal dalam situasi ekonomi yang tidak menentu pada hari ini," dakwanya.

Tuan Ibrahim yang juga Naib Presiden PAS turut membidas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Muadzam Shah, Datuk Maznah Mazlan yang berjanji untuk mengkaji semula isu cukai tanah tetapi hanya turun RM20 sahaja.

"Saya difahamkan cukai tanah hanya diturunkan sebanyak RM20 daripada kadar baharu yang ditetapkan," katanya.

Selain di Muadzam Shah, dakwa beliau, isu cukai tanah yang tinggi turut berlaku di Gugusan Felda Keratong khususnya di Keratong 6 dan 7.

"Cukai lot kediaman naik sehingga 121 peratus daripada RM38 pada 2014 kepada RM84 (2015).

"Lot ladang juga naik mencecah 100-102 peratus daripada RM83 (2014) kepada RM168 (2015)," katanya.

Beliau mendakwa, kenaikan cukai tanah tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat di setiap gugusan  Felda dan di daerah Rompin.

"Sudah tiba masanya rakyat Rompin bangkit menghantar mesej jelas kepada BN pada PRK kali ini bahawa rakyat sudah muak dengan janji yang tidak ditepati," katanya.

PAS, Tanah, Cukai, Rompin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain