suria

Aduan GST Boleh Dibuat Di Pejabat Penghulu

KUCHING: Pejabat penghulu akan dijadikan tempat aduan bagi orang ramai melaporkan jika ada peniaga di kawasan mereka menaikkan harga sejak pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (CBP), 1 April lepas.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Alias Ahmad berkata kaedah itu selaras arahan kabinet supaya tumpuan pemeriksaan diperluaskan di luar bandar serta pekan-pekan kecil supaya peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga.

"Rundingan sudah diadakan dengan pejabat penghulu untuk melaksanakan langkah tersebut. Sebagai contoh semalam semasa melakukan pemeriksaan di Serian, saya dapati ada pasaraya yang masih menjual barang tanpa menolak SST (cukai jualan dan perkhidmatan) malahan mengenakan CBP.

Bayangkan mereka ambil kesempatan dengan kenakan 10 peratus SST dan tambah lagi enam peratus CBP," katanya kepada pemberita, di sini, Sabtu.

Alias berkata pihaknya telah mengeluarkan notis kepada pasar raya berkenaan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Alias juga berkata hasil pemeriksaan di Serian yang terletak kira-kira 70km dari sini, pihaknya mengesan sebuah kedai runcit yang tidak mendaftar CBP dan tidak mengenakan cukai berkenaan kepada pelanggan tetapi menjual barangan pada harga yang agak tinggi.

"Sebagai contoh, kedai tersebut menjual air minuman dalam tin pada harga RM2.00, sedangkan mereka memperolehinya pada harga RM1.10 daripada pembekal.

Kita akan lihat sama ada wujud kes pencatutan dalam isu ini," katanya.

Alias berkata hasil pemeriksaan yang dijalankan itu, jelas mendapati masih ada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang dan tidak mengikut arahan ditetapkan.

"Mereka ini tamak serta tidak beretika dengan menaikkan harga berniat mengambil untung berlebihan," katanya.

GST, Pejabat Penghulu

Artikel Lain