suria

Rela Digerakkan Bantu Tangani Ancaman Militan - Ahmad Zahid

Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memeriksa kawalan kehormat anggota Rela semasa menghadiri Program Bakti Rela di Politeknik Seberang Prai, Sabtu. -fotoBERNAMA
BUKIT MERTAJAM: Rela akan digerakkan bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi penguatkuasaan yang lain dalam menangani ancaman keganasan terutama kumpulan militan IS di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya beberapa langkah diambil dengan antara tugasan yang akan diberikan kepada Rela adalah dalam hal pencegahan jenayah seperti memantau 'lorong-lorong tikus' dan menjadi pemberi maklumat kepada polis dalam hal berkaitan keluar masuk individu atau kumpulan yang dikaitkan dengan keganasan.

Ahmad Zahid berkata ketika ini pintu masuk dan keluar negara sama ada laluan laut, darat dan udara dikawal agensi-agensi penguatkuasaan tetapi perlu juga ada pemantauan terhadap lorong-lorong tikus.

"Lorong-lorong tikus sudah menjadi lorong gajah. Anggota Rela seramai 2.98 juta diminta memantau kawasan berkenaan supaya tidak seorang pun terlepas sama ada yang mahu masuk, apatah lagi yang mahu keluar dari negara ini untuk ke negara kedua atau ketiga kononnya atas perjuangan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Bakti Rela Daerah Seberang Perai Tengah di sini Sabtu.

Ahmad Zahid berkata ini semua bagi memastikan pengganas yang berada di luar Malaysia apabila pulang ke negara ini mereka akan didakwa dan diambil tindakan undang-undang.

"Pengintipan sedang dilakukan. Bagi mana-mana individu atau kumpulan atau organisasi yang anjurkan mana-mana kursus atau latihan atau cuba membuat senjata buatan sendiri atau bom buatan sendiri, mereka tidak akan terlepas daripada langkah-langkah perundangan agensi penguatkuasaan terutama polis," katanya.

Katanya Rela akan bertindak sebagai pemberi maklumat kepada agensi-agensi penguatkuasaan yang diberikan tanggungjawab menjaga keselamatan negara.

"Rela ditambah tugas bukan hanya menjaga dan membantu polis dalam hal keselamatan tetapi lebih penting kepada pencegahan jenayah," katanya.

Ahmad Zahid berkata ini antara perkara yang dimasukkan dalam Akta Pencegahan Keganasan (POTA) yang dibentangkan di Dewan Rakyat dan telah diluluskan oleh Dewan Negara, serta telah dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong bagi diperkenankan untuk diwartakan.

"Menerusi POTA, Rela ada tanggunjawabnya. Mereka akan beri maklumat hasil sumber di kawasan masing-masing. Ini tujuannya untuk pencegahan sebelum sesuatu (keadaan) menjadi parah," katanya.

Terdahulu Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata Rela akan dilibat sama dalam menangani ancaman pengganas kerana kerajaan tidak mahu pengganas terutama dari luar mengganggu keamanan negara.

"Sekarang mereka ada di Syria dan Iraq, menunggu untuk masuk ke negara ini.Negara kita sudah aman jangan ada sesiapa yang juga mengusiknya. Rakyat Malaysia tidak mahu campur tangan unsur-unsur asing," katanya.

Beliau berkata kerajaan tidak mahu rakyat Malaysia yang kononnya berjihad di Syria kembali dan POTA yang diadakan adalah bagi mempertahankan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah Rela Lukeman Saaid.

Artikel Lain