ROMPIN: Setiap parti politik yang bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) atau umum pasti akan berlumba-lumba melancarkan manifesto masing-masing bagi menunjukkan perancangan mereka untuk pengundi. Namun keadaan itu berbeza dalam PRK Parlimen Rompin. Walaupun yang bertanding terdiri daripada parti terkenal iaitu Barisan Nasional (BN) dan PAS, namun kedua-duanya tidak mengeluarkan manifesto khas untuk PRK kali ini. Calon BN, Datuk Hasan Arifin dalam setiap majlis yang dihadiri sering memberitahu beliau sedia berkhidmat kepada rakyat sehingga akhir hayat. Beliau juga bersedia mendengar masalah rakyat tanpa mengira waktu jika diberi mandat sebagai Ahli Parlimen oleh pengundi pada 5 Mei ini. Malah, Pemangku Ketua Umno Bahagian Rompin itu juga berjanji untuk meneruskan legasi Ahli Parlimennya sebelum ini, Tan Sri Jamaluddin Jarjis. Jelasnya, beliau akan meneruskan pembangunan yang sudah dibina di Rompin dengan meningkatkan ekonomi masyarakat setempat dan mempromosikan Tioman dan Taman Negara Endau Rompin sebagai destinasi pelancongan. Bagaimanapun, tiada janji bertulis atau manifesto dikeluarkan setakat ini, semuanya setakat 'janji mulut' sahaja. Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengakui parti itu tidak akan mengeluarkan manifesto khas di Rompin kerana ingin mengelak pembaziran yang besar. "Tidak ada manifesto, malah belum ada perang poster di sini... tak perlu pembaziran yang besar," katanya. Tuan Ibrahim berkata, calon menggunakan pendekatan turun padang ke tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rompin dan pusat daerah mengundi (PDM) untuk mendengar permasalahan rakyat. "Kami akan turun bertemu penduduk di pusat daerah mengundi dan mendengar keluhan rakyat di tiga DUN di sini," katanya. Calonnya, Nazri Ahmad juga memberitahu, pihaknya masih belum merangka pelan pembangunan khusus untuk Rompin sekiranya berjaya melakar kejutan di Rompin. Beliau berkata, fokusnya kini lebih tertumpu membantu peneroka Felda menangani isu FGVH dan rumah generasi kedua serta geran tanah membabitkan masyarakat Orang Asli di sini. Ini bermakna PAS juga hanya menabur 'janji mulut' yang boleh dilupakan pengundi selepas sebulan PRK berlalu selepas ini.