suria

Kastam Rampas 81 Kenderaan Mewah

Gambar hiasan.

ALOR SETAR: Kastam Diraja Malaysia Negeri Kedah menyita sebanyak 81 kenderaan mewah diseludup daripada negara jiran bernilai RM2.67 juta melibatkan sebanyak RM4.9 juta sejak Januari lepas sehingga Rabu.

Pengarahnya Abdul Latif Abdul Kadir berkata kenderaan itu dirampas di beberapa tempat termasuk Bukit Kayu Hitam, Sungai Petani, Langkawi, Durian Burung di negeri ini serta di Lembah Klang dan Perak.

Beliau berkata pihaknya turut menahan 15 suspek yang terlibat dalam kes tersebut berumur antara 30-an hingga 40-an termasuk seorang penjawat awam berumur 50 tahun.

Katanya kesemua kenderaan tersebut dipercayai diseludup dari Singapura dan Thailand dan dijual di pasaran tempatan pada harga yang jauh lebih murah daripada kenderaan import yang sah.

"Contohnya sebuah kereta import tempatan dijual pada harga RM120,000, tetapi mereka menjualnya dengan harga sekitar RM40,000 dengan dokumen lengkap berserta nombor pendaftaran," katanya dalam sidang media di sini, Khamis.

Abdul Latif juga berkata, mereka turut menjual kenderaan itu menerusi laman sosial Facebook.

Menurut beliau ketika pemeriksaan dilakukan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati ada di antara kenderaan terbabit menggunakan nombor pendaftaran milik kenderaan orang lain dan ada yang tidak wujud dalam sistem pendaftaran.

Katanya, antara kenderaan mewah yang dirampas termasuk Mercedes Benz E240, Porsche Boxter, Maserati, Jaguar, BMW X5, BMW 730Li, Lexus RX300, Mini Cooper, Volkswagen Beetle, Nissan Fairlady dan Volvo XC90.

Katanya pihaknya juga sedang memburu beberapa suspek yang terlibat dalam kes tersebut.

"Suspek yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barangan tidak berkastam," katanya.

Kastam, Kedah, Porshe

Artikel Sebelum

Artikel Lain